
BINTANGOR: Program Jangkauan Santuni Komuniti (POSKOM) anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Masyarakat Meradong, dengan pelbagai pengisian interaktif yang menyasarkan penduduk setempat.
Inisiatif turun padang ini bertujuan menyampaikan perkhidmatan kebajikan, khidmat nasihat serta sokongan sosial secara langsung kepada komuniti luar bandar, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan bantuan tanpa perlu ke pejabat kerajaan.
Antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung ialah pertandingan seni tanah liat kering (air dry clay), pertunjukan fesyen, senamrobik, cabutan bertuah, demonstrasi bantuan kecemasan serta sukaneka warga emas.
Selain itu, Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) juga turut dijalankan bagi membantu golongan yang memerlukan secara langsung di kediaman mereka.
Beberapa sesi taklimat penting turut diadakan, antaranya berkaitan Bantuan Kesejahteraan Sosial, pengurusan bencana, kempen pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU), penguatkuasaan, pembangunan ekonomi, perlindungan kanak-kanak serta maklumat mengenai Kad Kenyalang Gold (KGC), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB) dan Bantuan Interim Kebajikan (BIK).
Pengunjung juga berpeluang mengunjungi pelbagai reruai perkhidmatan seperti permohonan bantuan kewangan JKM, permohonan dan penggantian kad OKU, pendaftaran serta cetakan Kad KGC, saringan kesihatan dan pameran daripada agensi luar.
Turut memeriahkan program adalah jualan produk keluaran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta usahawan Wellbest di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.
POSKOM memberikan ruang kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan maklumat, bantuan dan bimbingan secara terus, selain memupuk hubungan yang lebih erat antara agensi kerajaan dan rakyat.
Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan digalakkan untuk disertai seisi keluarga.
Majlis penutupan rasmi dijadual berlangsung esok, dan akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Oleh Earl Anek