Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUBS Miri sambut baik RUU penambahan kawasan DUN Sarawak
  • SEMASA

DUBS Miri sambut baik RUU penambahan kawasan DUN Sarawak

Utusan Sarawak 8 hours ago
PENGERUSI DUBS Miri, Mohammad Hafidz Rohani.

MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak berkaitan penambahan 17 kawasan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah ini merupakan titik tolak penting dalam memperkukuh struktur pentadbiran negeri serta menjamin penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, menyeluruh dan setempat.

Ia mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap usaha memastikan suara rakyat – khususnya dari kawasan luar bandar dan pedalaman – didengari dan diberikan perhatian sewajarnya dalam arus pembangunan.

Sebagai wakil kepada komuniti usahawan Bumiputera di wilayah utara Sarawak, DUBS Miri melihat penambahan kawasan DUN ini sebagai strategi jangka panjang yang mampu mengimbangi jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Kawasan seperti Bekenu, Subis, Lambir, Marudi dan Long Lama mempunyai potensi ekonomi besar yang belum diterokai secara menyeluruh.

Dengan perwakilan politik yang lebih dekat dan fokus, pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan jaringan telekomunikasi dijangka dapat dipercepat sekali gus memberi rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

TIMBALAN Pengerusi DUBS Miri, Dr Abdul Aziz Abdul Rahim. 

Menurut Pengerusi DUBS Miri, Mohammad Hafidz Rohani, penambahan ini membuka ruang kepada perancangan ekonomi yang lebih teliti dan berasaskan keperluan tempatan.

“DUBS Miri percaya, apabila kawasan dipecah dan diwakili secara lebih khusus, pelbagai isu dan cabaran ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar seperti akses kepada pasaran, kemudahan logistik, dan peluang pembiayaan  dapat diselesaikan secara lebih proaktif dan efektif,” katanya di sini.

Mohammad Hafidz menambah bahawa peluang keusahawanan dalam bidang pertanian, agropelancongan, pemprosesan makanan, dan industri kecil berasaskan komuniti akan berkembang sekiranya dasar kerajaan negeri terus menyokong pembangunan berasaskan kekuatan lokal.

“Ini peluang bagi lebih banyak projek pembangunan berskala kecil dan sederhana yang melibatkan usahawan tempatan, kontraktor Bumiputera, serta golongan belia dan wanita di luar bandar,” jelasnya.

Beliau berkata, DUBS Miri turut menekankan pentingnya setiap kawasan baharu diberikan perhatian serius dari segi pembangunan modal insan dan pemerkasaan ekonomi digital.

“Usahawan luar bandar tidak harus tertinggal dalam era e-dagang, automasi dan pemasaran digital dan ini memerlukan sokongan berterusan daripada agensi pembangunan serta institusi pendidikan teknikal.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DUBS Miri, Dr Abdul Aziz Abdul Rahim, turut menyuarakan keyakinannya bahawa penambahan kawasan DUN ini akan memberi ruang kepada pemimpin baharu yang lebih dekat dengan rakyat dan lebih memahami isu-isu setempat, terutamanya yang berkait dengan ekonomi luar bandar.

“Kami berharap agar inisiatif ini bukan sahaja membawa pembangunan fizikal, tetapi turut memperkukuhkan daya tahan ekonomi komuniti tempatan.

“Usahawan muda, petani moden, dan pengusaha mikro perlu dibimbing melalui dasar yang progresif agar mereka menjadi pemain utama dalam pembangunan ekonomi kawasan masing-masing,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, DUBS Miri menyokong agar program-program pembangunan selepas ini diselaraskan bersama pihak industri, akademik dan komuniti agar impaknya benar-benar terasa.

“Keupayaan untuk bangkit sebagai sebuah negeri maju dan berdikari bermula dengan struktur asas yang adil dan inklusif – dan inilah asas kepada penambahan kawasan DUN ini,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Hannah harap Pearly- Thinaah fokus permainan lepas tandatangan kontrak
Next: Seramai 10,049 calon akan duduki peperiksaan SPM ulangan pada 15 -17 Julai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.