
SIBU: Penganjuran Malam Kebudayaan sempena Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2025 bukan sekadar satu acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh jati diri dan warisan budaya pelbagai kaum di Sarawak, khususnya di Sibu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata, dalam era globalisasi dan transformasi digital yang pesat, acara seperti ini memberi ruang kepada masyarakat untuk kembali berpaut kepada akar budaya masing-masing.
“Budaya bukan satu kemewahan, ia adalah warisan kita. Ia adalah jiwa sesuatu bangsa. Dan Sibu, dengan kepelbagaian komuniti yang dinamik, terus memainkan peranan penting dalam melindungi dan memperjuangkan warisan ini untuk Sarawak, untuk Borneo, dan untuk seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting, pada majlis perasmian Malam Kebudayaan BCF 2025 yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I, semalam.
Menurut beliau, malam kebudayaan bukan sekadar pentas pertunjukan seni, sebaliknya berperanan sebagai medan untuk mengetengahkan bakat tempatan, memperkukuh jati diri serta menyemarakkan semangat cintakan budaya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, edisi kali ini turut menampilkan pelbagai persembahan budaya daripada seluruh Sarawak, merangkumi tarian tradisional, muzik etnik dan ekspresi seni yang mencerminkan kepelbagaian serta kekayaan warisan budaya negeri ini.
“Kita juga amat berbesar hati dengan kehadiran rakan-rakan dari Jawa Barat, Indonesia. Penyertaan mereka memperkaya lagi dialog kebudayaan dan memperkukuh hubungan persahabatan serta saling menghormati antara rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata, festival seperti ini bukan hanya medan perayaan, tetapi merupakan ruang pertukaran ilmu, inspirasi dan pemahaman antara komuniti serantau.
“Sibu terus berkembang sebagai hab budaya yang rancak, industri kreatif yang subur dan lambang kebanggaan masyarakat. Di sinilah muzik, tarian, bahasa dan hasil seni berkembang dengan harmoni dan di sinilah kita menyaksikan semangat Borneo yang hidup dan terus berkembang,” katanya.
Tiang turut menggesa semua pihak agar terus memainkan peranan dalam melindungi dan mempromosikan budaya, agar kekal relevan untuk diwarisi generasi akan datang.
“Budaya bukan sesuatu yang kita warisi secara pasif, ia mesti dilindungi, dipromosikan dan diwariskan dengan penuh tujuan,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Lanang yang juga Timbalan Speaker Parlimen, Alice Lau, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying dan Pemangku Konsul Jeneral Republik Indonesia, Bapak Musa Derek Sairwona.
Oleh Tarani Lanting