
JOHOR BAHRU: Kuih bakar lazimnya dikenali dengan rasa manis dan beraroma pandan, namun sepasang suami isteri di sini tampil mencetus kelainan dengan memperkenalkan variasi rasa kuih bakar seperti durian, daging dan sardin yang bukan sahaja memikat selera, malah membangkitkan nostalgia.
Bagi Shahrilnizam Mohamed, 54, dan isterinya Mahanum Abdul Rahman, 52, kuih bakar bukan sekadar warisan tradisi, sebaliknya menjadi medium untuk mereka bereksperimen mencipta rasa baru, berteraskan resipi turun-temurun ibunya yang diolah dengan sentuhan kreatif dan cita rasa semasa.
“Ramai anggap kuih bakar hanya manis, tapi kami nak ubah tanggapan itu. Ia juga boleh jadi berempah dan pelbagai rasa, yang penting tetap enak. Idea untuk menghasilkan kuih bakar perisa sardin ini diilhamkan oleh saya dan isteri.
“Kami berdua sangat menggemari juadah sardin dan pada ketika itu kami dapat inspirasi untuk menjadikannya sebagai satu “rasa” baru untuk kuih bakar ini,” kata Shahrilnizam ketika ditemui Bernama di kedainya di Larkin Sentral dekat sini, hari ini.


Pasangan itu memulakan perniagaan sejak Disember 2024 dengan modal RM70,000, dan kini menghasilkan lima variasi perisa termasuk pandan klasik (RM8) hingga durian premium (RM15).
Setiap kuih bakar yang dihasilkan mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam untuk dibakar, menggunakan adunan berbeza mengikut jenis perisa bagi mengimbangi rasa manis, masin dan tekstur yang tepat.
Menariknya, kuih bakar unik ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan Singapura, yang sanggup menunggu lama semata-mata mahu membawa pulang kuih bakar perisa kegemaran mereka, terutamanya durian dan sardin.
Pada musim cuti, jualan boleh mencecah sehingga 450 biji sehari, berbanding purata 200 biji pada hari biasa membuktikan bagaimana inovasi kuih bakar mampu mengangkat kuih tradisi Malaysia ini ke tahap luar jangka.

Selain itu, mereka mengakui cabaran utama ialah kesukaran mendapatkan pekerja yang sanggup bekerja dalam persekitaran panas dan mematuhi piawaian mereka.
Shahrilnizam turut menyambut baik Kempen Beli Barangan Malaysia, namun beliau berharap supaya kerajaan dapat menyediakan pakej rangsangan khas untuk menghidupkan semula kawasan-kawasan tumpuan seperti Terminal Larkin Sentral.
“Ramai usahawan kecil berjuang untuk terus bertahan. Kalau Larkin ini lebih meriah, kami semua pun ada peluang untuk berkembang,” katanya.
Sementara itu, warga Singapura Siti Kamalaila Zulkeplie, 54, menyifatkan kuih bakar tersebut sebagai juadah “wajib beli”, setiap kali beliau sekeluarga berkunjung ke Malaysia pada hujung minggu.
“Kami sekeluarga memang akan beli jika datang ke sini (Larkin Sentral). Biasanya kuih bakar hanya berperisa pandan atau jagung, jadi kelainan seperti daging dan sardin ini memang unik dan rasanya pun sangat sedap,” katanya.- Bernama