KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri (SST) telah menarik balik kes sivil yang telah difailkan terhadap Petronas bagi menuntut semula Cukai Jualan Negeri berjumlah sebanyak RM1.3 billion.
Menteri Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pembantu Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, tuntutan itu bagi tempoh Januari ke Jun 2019, termasuk denda untuk pembayaran lewat dan faedah.
Petronas juga telah menarik balik Tuntutan Balas saman mereka terhadap Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri.
“Tuntutan balas saman ini pada awalnya dibuat kerana mereka mendakwa bahawa tindakan Kerajaan Sarawak dan Pengawal CukaiJualan untuk mengenakan Cukai Jualan ke atas produk petroleum adalah tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Petronas telah memberikan pengesahan bertulis bahawa Cukai Jualan untuk produk petroleum akan dibayar oleh tujuh anak syarikatnya, kata Sharifah Hasidah termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd, yang terlibat secara langsung dalam penjualan petroleum di Sarawak.
“Anak-anak syarikat ini, yang telah dikenal pasti dan disahkan oleh Petronas, dan dalam proses didaftarkan dengan Pengawal Cukai Jualan Negeri sebagai syarikat yang boleh dikenakan cukai dan bertangjawabmembayar Cukai Jualan kepada Kerajaan Sarawak. Proses pendaftaran ini akan selesai pada 15 Ogos ini,” ujarnya.
Menurut Sharifah Hasidah Pengawal Cukai Jualan Negeri kini sedang membuat penilaian jumlah Cukai Jualan yang harus dibayar oleh setiap anak syarikat untuk tahun 2019 berdasarkan rekod jumlah sebenar produk petroleum yang telah dijual oleh mereka dan juga pengisytiharan nilai penjualan yang diberikan oleh anak-anak syarikat tersebut.
“Penilaian ini akan dibuat oleh Pengawal Cukai Jualan Negeri mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 dan Peraturan-Peraturan Cukai Jualan Negeri 1998′ Tidak ada potongan atau pengecualian yang akan diberikan’,” jelasnya.
Sementara Petronas kata Sharifah Hasidah lagi telah memberi jaminan bertulis bahawa anak-anak syarikat ini akan membayar CukaiJualan setelah jumlah Cukai dinilai.
Dengan penarikan Rayuan Petronas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini, Sharifah Hasidah menamvah maka isu hak Negeri untuk mengenakan Cukai Jualan ke atas produk petroleum akhirnya dapat diselesaikan.
“Kerajaan Negeri sekarang akan bekerjasama dengan Petronas dan memberi tumpuan untuk memperkuatkan PETROS dan memastikan penyertaan orang Sarawak dan Syarikat-Syarikat Sarawak dalam sektor Minyak dan Gas dipertingkatkan,” tegasnya.
Pada 3 Ogos lalu, Petronas telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak menuntut SST atas produk petroleum, sementara kerajaan Sarawak juga menarik balik rayuan balasnya atas isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi pada SST.
Oleh Diyana Samsuddin