
MIRI: Penganjuran Larian Perpaduan sempena Hari Sarawak 2025 dijangka menarik penyertaan ribuan peserta, sekali gus memerlukan penyelarasan yang rapi serta kawalan keselamatan menyeluruh bagi menjamin kelancaran program.
Sebagai langkah awal, satu sesi lawatan tapak dan mesyuarat jawatankuasa pelaksana telah diadakan di dua lokasi utama iaitu Stadium Bandaraya Miri dan Dewan Suarah Miri, melibatkan lebih 20 wakil daripada agensi pelaksana serta jabatan berkaitan, hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Dato Sebastian Ting Chiew Yew, yang turut memikul tanggungjawab sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Program Larian Perpaduan tahun ini.
Menurut Dato Sebastian Ting, koordinasi antara semua pihak adalah teras utama kejayaan Larian Perpaduan, memandangkan ia dijangka menghimpunkan 5,000 peserta dan melibatkan pergerakan sejauh 2.6 kilometer di sekitar kawasan bandar.
“Kita perlu pastikan dari segi logistik, kawalan keselamatan, pengurusan trafik dan kebajikan peserta, semuanya diselaraskan dengan teliti.
“Larian Perpaduan ini bukan sekadar acara simbolik tetapi turut membawa imej negeri Sarawak sebagai penganjur program bertaraf tinggi,” katanya.
Program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) melalui Pejabat MYSED Bahagian Miri itu dijadual berlangsung pada 22 Julai ini, bertempat di Stadium Bandaraya Miri sebagai lokasi pelepasan.
Acara Larian Perpaduan kali ini turut mendapat penghormatan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang dijangka hadir menyempurnakan acara pelepasan peserta.
Turut hadir Pegawai Penguasa Pejabat MYSED Bahagian Miri, Chong Suk Thing serta yang lain.
Oleh Adum Liu