
KUALA LUMPUR: Sektor perbankan Malaysia dijangka terus berdepan tekanan selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berikutan margin faedah bersih (NIM) menghadapi penyusutan jangka pendek, menurut firma penyelidikan.
Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam nota penyelidikan hari ini, penurunan OPR lazimnya mengecilkan NIM bank disebabkan pelarasan semula segera pinjaman dengan kadar faedah berubah manakala untuk deposit tetap hanya apabila tempohnya matang.
“Bagaimanapun, kami mendapati bank-bank Malaysia secara proaktif mengurangkan impak dengan menurunkan kadar deposit tetap promosi dan konvensional sebanyak lima hingga 20 mata asas sejak April, dengan jangkaan penurunan tersebut.
“Ini akan membantu mengimbangi impak serta-merta,” katanya.
Dalam nota berasingan, Maybank Investment Bank Bhd berkata langkah tersebut telah dijangka dan dimasukkan dalam modelnya pada separuh kedua 2025.
Katanya ia telah menyemak semula andaian NIM baru-baru ini lebih rendah sebanyak dua hingga tiga mata asas secara purata, menjadikan unjuran pendapatan tidak berubah.
“Bagi bank-bank dalam liputan kami, kami menjangka penyusutan agregat NIM sebanyak dua mata asas kepada purata 2.06 peratus pada 2025, diikuti NIM yang kekal stabil pada 2026,” katanya.
Public Investment Bank Bhd melihat langkah BNM itu sebagai proaktif untuk menyokong momentum pertumbuhan Malaysia dalam ketidaktentuan makroekonomi yang meningkat.
“Kami percaya langkah ini dengan penurunan Keperluan Rizab Berkanun pada Mei lepas, akan membantu mengekalkan permintaan domestik yang berdaya tahan,” katanya.– Bernama