
SIBU: Penyakit zoonotik dan tropika terabai (NTDs) terus menjadi ancaman kesihatan global yang serius.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, penyakit berjangkit seperti HIV dan COVID-19 adalah contoh jelas penyakit zoonotik yang memberi impak besar kepada dunia.
“COVID-19 bukan yang terakhir. Penularan penyakit daripada haiwan kepada manusia akan terus meningkat. Di Sarawak, kita berdepan dengan penyakit seperti malaria dan denggi, malah ada jenis malaria tertentu seperti plasmodium knowlesi yang berpunca daripada monyet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Asia-Pasifik Kedua Mengenai Penyakit Zoonotik dan Tropika Terabai 2025 di salah sebuah hotel terkemuka sini hari ini.
Bagi menghadapi cabaran itu, menurutnya, Sarawak telah menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit di Kota Samarahan dengan peruntukan lebih RM200 juta, sebagai langkah awal memperkukuh keupayaan negeri dalam pengesanan dan pencegahan penyakit.
“Ada yang kata rakyat kita miskin. Ya, ada yang miskin, tapi kita tak boleh tunggu pandemik seterusnya baru bertindak. Kerajaan negeri sudah melabur dalam infrastruktur, kepakaran dan makmal, bukan hanya tunggu bantuan kewangan,” katanya
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut berkongsi pengalamannya melawat Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Atlanta, Amerika Syarikat tahun lalu, dan menyatakan keperluan untuk bekerjasama dalam aspek latihan dan pemindahan pengetahuan.
“Kita tak minta duit mereka. Kita dah bina pusat kita sendiri. Tapi kita perlukan kepakaran mereka, supaya kita boleh latih rakyat kita,” kata beliau.
Mengenai isu rabies, Dr Sim berkata, kesedaran masyarakat amat penting kerana walaupun kerajaan menyediakan vaksinasi percuma, masih ramai pemilik haiwan peliharaan di kawasan bandar tidak memvaksin anjing atau kucing mereka.
“Rabies boleh dihapuskan menjelang 2030 seperti disasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tapi ia hanya boleh dicapai jika semua pihak main peranan. Kalau anda bela anjing atau kucing, anda mesti bertanggungjawab untuk vaksin mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, walaupun lebih 80 peratus anjing di kawasan sempadan telah divaksin, tahap kesedaran di bandar masih rendah.
“Calar kucing juga boleh menyebarkan rabies. Kita tak boleh lepas tangan. Ini bukan hanya tugas kerajaan. Kalau kita semua main peranan, rabies boleh dihapuskan,” ujarnya.
Mengulas tetang persidangan tersebut, beliau berkata, penganjuran persidangan itu sangat penting dalam memperkukuh usaha serantau bagi menangani penyakit berjangkit yang berpunca daripada haiwan.
“Ini adalah program yang sangat penting. Saya amat berbangga kerana ia bermula di Sibu dan kini masuk tahun kedua. Persidangan ini dianjurkan setiap dua tahun dan sangat relevan kerana ia memberi tumpuan kepada penyakit zoonotik dan tropika — seperti yang kita semua tahu, zoonosis bermaksud jangkitan daripada haiwan ke manusia,” kata beliau lagi.
Beliau menggesa kerjasama semua pihak, bukan sahaja profesional kesihatan tetapi seluruh rakyat dalam usaha memerangi penyakit berjangkit.
“Ini bukan hanya tanggungjawab doktor atau saintis. Ia memerlukan kerjasama semua dari komuniti akar umbi hingga ke peringkat pembuat dasar,” tegasnya.
Persidangan Asia-Pasifik Mengenai Penyakit Zoonotik dan Tropika Terabai itu menjadi platform penting untuk para pakar, penggubal dasar dan wakil negara-negara rantau ini bertukar pandangan serta membina kerjasama bagi menangani isu kesihatan awam yang semakin mencabar.
Oleh Akun Giman