KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan tujuan pendaftaran nama dan nombor telefon apabila memasuki sesuatu premis adalah penting untuk memudahkan penjejakan kontak apabila berlaku kes positif Covid-19 di tempat berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata, tujuan tersebut adalah untuk mengetahui sapa yang sudah pergi ke sesuatu tempat yang terjejas.
“Sebab itu, orang ramai dipohon menulis nama dan nombor telefon yang betul kerana jika memberikan maklumat tidak benar, sudah tentu akan berlaku kesulitan apabila berlakunya penjejakan kontak.
“Sebab itu kita menegaskan nama dan rekod adalah amat penting di dalam penjejakan kontak kerana ia salah satu strategi paling penting memerangi Covid-19 untuk mengesan orang yang dekat dengan mangsa,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, di sini, semalam.
Jelasnya, strategi adalah mengesan kontak secepat mungkin supaya yang dijangkiti itu dapat dikesan awal, dibawa ke hospital serta dikeluarkan dari masyarakat supaya dia tidak menjangkiti orang lain.
“Sebab itu anda lihat dalam kes-kes kita, ada yang mempunyai banyak kluster, dan ada juga sebaliknya.
“Selain itu, kita nasihatkan orang ramai untuk membawa pen sendiri dan menggunakannya apabila mengisi buku rekod kerana ia juga mengurangkan risiko jangkitan kerana tidak berkongsi dengan orang lain.
“Bagi mereka yang menggunakan pelbagai aplikasi, ia adalah lebih mudah kerana anda hanya perlu mengimba dan semua rekod sudah ada, ia amat mudah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai apabila diminta mengulas mengenai dua individu di Miri yang dikenakan kompaun kerana tidak mengisi maklumat dengan betul.
“Apabila anda mengisi nama dan nombor telefon, ia adalah untuk tujuan penjejakan kontak dan anda dapat dikesan dan dihubungi.
“Tetapi bagi kes ini saya tidak mahu memberikan komen banyak, tetapi apabila mereka ini dihubungi, mereka tidak memberikan sebarang respon kerana mereka menggunakan nama yang tidak benar yang mereka sendiri tidak tahu.
“Itu adalah sebab mereka dikenakan kompaun kerana tujuan utama adalah mengisi nama dan nombor telefon yang benar untuk tujuan penjejakan kontak dan memberi nama sebenar adalah lebih baik,” tegasnya.
Oleh Zarina Abdullah