
KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 mencatat kejayaan besar dalam pengurusan sisa, memperlihatkan komitmen kukuh terhadap kelestarian alam sekitar sepanjang tiga hari penganjurannya dari 20 hingga 22 Jun lalu di Kampung Budaya Sarawak.
Sepanjang festival berlangsung, sejumlah 3,543.3 kilogram sisa dihasilkan dengan 1,550.0 kilogram atau 31.3 peratus berjaya diasingkan dan dialihkan daripada tapak pelupusan.
Kejayaan ini dicapai hasil daripada sistem pengurusan sisa yang mantap, kesedaran tinggi dalam kalangan pengunjung serta kerjasama erat bersama rakan strategik seperti Trienekens Sarawak.
Sebagai perbandingan, edisi 2024 menghasilkan lebih banyak sisa iaitu 4,581.72 kilogram dengan kadar kitar semula sedikit lebih tinggi iaitu 37 peratus atau 1,712.7 kilogram.
Meskipun angka berbeza setiap tahun, festival kali ini yang menerima kehadiran seramai 22,000 pengunjung masih mengekalkan kadar pengasingan sisa melebihi 30 peratus, mencerminkan usaha berterusan ke arah penganjuran yang mampan tanpa mengira skala.
Sisa yang berjaya diasingkan dan diuruskan secara lestari termasuk 215.7 kilogram kertas dan kotak kitar semula, 410.8 kilogram plastik, 271.0 kilogram logam, 225.0 kilogram kaca, 21.9 kilogram minyak masak terpakai serta 413.6 kilogram sisa makanan yang dikompos manakala 1,976.3 kilogram lagi dikategorikan sebagai sisa am.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor menyifatkan kejayaan ini sejajar dengan visi pihaknya untuk menjadikan RWMF sebagai festival yang benar-benar lestari dan mesra alam di rantau ini.
“Sokongan dan kerjasama daripada para pengunjung amat kami hargai. Keprihatinan anda membuang sisa di tempat yang sepatutnya amat membanggakan dan merupakan antara faktor utama kejayaan pengurusan sisa pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Trienekens Sarawak atas penyediaan tong pengasingan sisa yang amat penting dalam memastikan sisa dapat dialih daripada tapak pelupusan.
“Kerjasama ini menjadi bukti bagaimana semangat komuniti dan kolaborasi boleh menyumbang kepada penganjuran festival yang lebih hijau,” tambahnya.
Bertemakan ‘Connections: One Earth, One Love’, RWMF 2025 bukan sahaja menyatukan muzik dan budaya dari seluruh dunia, malah memperkukuh penghargaan terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Kejayaan program pengurusan sisa tahun ini menjadi bukti bahawa misi tersebut dapat dicapai bersama.
Penganjur turut menyatakan harapan untuk terus membina kejayaan yang dicapai tahun ini dan terus menjadi penanda aras kepada pengurusan acara yang mampan di rantau ini.