Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Malaysia kekal optimistik terhadap hasil rundingan tarif dengan AS
  • SEMASA

Malaysia kekal optimistik terhadap hasil rundingan tarif dengan AS

Utusan Sarawak 9 hours ago
MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengadakan sidang media mengenai tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas produk Malaysia, di Menara MITI hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Malaysia kekal optimistik terhadap hasil rundingan tarif Amerika Syarikat (AS), dengan menumpukan kepada sektor tertentu yang boleh membawa manfaat kepada kedua-dua negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sektor yang menjadi kelebihan Malaysia, seperti sektor semikonduktor, boleh menawarkan situasi menang-menang kepada kedua-dua negara.

“Saya optimistik, terutama dengan sektor yang saya rasa mempunyai faktor menang-menang dan saling melengkapi.

“Malaysia ialah penggiat utama sektor semikonduktor, yang menyokong rantaian bekalan untuk ekosistem semikonduktor Amerika Syarikat. Jadi, kita perlu teruskan rundingan ini,” katanya ketika sesi perbincangan secara dalam talian di acara Reuters NEXT Asia yang diadakan di Singapura.

Sesi itu dimudah cara oleh Ketua Koresponden Ekonomi Reuters Korea, Cynthia Kim.

Tengku Zafrul berkata beliau telah berbincang dengan Wakil Perdagangan AS seawal semalam, dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa Malaysia dan AS boleh meneruskan rundingan memandangkan tempoh penangguhan tarif adalah sehingga 1 Ogos.

“Sudah tentu, ada cabaran, dan ada isu-isu yang masih perlu diselesaikan. Banyak yang telah berjaya diselesaikan tetapi malangnya tidak mengikut garis masa yang ditetapkan…dengan pengumuman oleh (Presiden AS Donald) Trump, kami mempunyai beberapa minggu lagi untuk berunding mengenai terma akhir,” katanya.

Beliau berkata satu daripada isu yang dibangkitkan ialah imbangan dagangan.

“Malaysia mencatatkan lebihan dagangan positif dengan AS. Lebihan dagangan Malaysia tahun lepas adalah sekitar AS$25 bilion.

“Pihak pentadbiran AS mahu melihat angka ini dikurangkan, dan juga dalam bidang yang mereka lihat ada “halangan” ke atas produk tertentu, seperti pertanian dan halal.

“Jadi, ini adalah antara isu yang perlu diselesaikan. Kami masih berunding, sudah tentu, ada perkara yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pihak-pihak yang terlibat turut membincangkan mengenai cukai digital dan isu berkaitan import produk tertentu yang mungkin menjejaskan industri tempatan.

“Ini adalah perkara yang masih dalam rundingan, tetapi kebanyakan isu, isu luaran telah diselesaikan. Saya percaya dengan tempoh yang diberikan, iaitu sehingga 1 Ogos, akan memberi lebih ruang kepada kita untuk menyelesaikan isu-isu yang masih belum diselesaikan,” katanya.

Pada Selasa, Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.

Angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.

Bagaimanapun, Trump berkata tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia atau syarikat Malaysia memutuskan untuk membangunkan atau mengilangkan produk di AS.

Malaysia telah berunding dengan Washington untuk mengurangkan tarif tersebut sejak April, dengan pusingan rundingan terkini diadakan pada 18 Jun.– Bernama

Continue Reading

Previous: PM Anwar seru ASEAN selaras dasar luar dan ekonomi lebih padu
Next: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah terima dua kunjungan hormat hari ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.