
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menegaskan bahawa bahasa dan sastera merupakan tunjang kepada pembinaan jati diri dan nilai sesebuah bangsa serta memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Penangguhan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Sarawak 2025 yang berlangsung dengan jayanya dari 7 hingga 9 Julai 2025.
Menurutnya, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah merupakan nadi kepada usaha pembinaan negara bangsa yang beridentiti dan bersatu.
“Melalui program bahasa dan sastera seperti ini, kita menyemai semangat perpaduan dan mengukuhkan identiti kebangsaan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa dalam arus pembangunan negara yang semakin pesat, masyarakat tidak boleh melupakan peranan bahasa dan sastera dalam membentuk jati diri serta nilai nasional.

“Bahasa mencerminkan perpaduan kita dan menghubungkan kita kepada akar budaya dan sejarah. Ia memainkan peranan penting dalam menyatupadukan masyarakat,” ujar Dr Sim.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa bahasa harus berfungsi sebagai alat komunikasi yang berkesan, bukannya sekadar medium penyampaian teknikal semata-mata.
Menurutnya, Sarawak amat bertuah kerana dikurniakan kekayaan budaya dan masyarakat yang berbilang kaum serta bahasa.
Keupayaan untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, adalah satu kekuatan yang wajar dimanfaatkan.
Festival anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak itu telah memperkenalkan pelbagai pertandingan menarik yang melibatkan penyertaan daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina.
Program tersebut bertujuan untuk melahirkan pelajar bukan Melayu yang mahir bertutur, berpidato dan menyampaikan idea secara berkesan dalam Bahasa Melayu.
Inisiatif sebegini bukan sahaja memperkukuh penguasaan bahasa, malah turut membina keyakinan diri, semangat berpasukan dan daya kreativiti dalam kalangan pelajar.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar peluang yang disediakan kerajaan melalui pelbagai agensi dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat supaya kemajuan yang dikecapi negara dapat dinikmati bersama dalam semua aspek.
“Semoga penglibatan aktif seluruh rakyat Sarawak dalam inisiatif kebahasaan dan kesusasteraan ini terus memperkukuh peranan dan citra Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu di negara yang kita cintai,” tambah Dr. Sim.
Oleh Adele Arissa