Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tarif AS: Penangguhan beri masa untuk Malaysia capai terma lebih baik – CIMB Securities
  • SEMASA

Tarif AS: Penangguhan beri masa untuk Malaysia capai terma lebih baik – CIMB Securities

Utusan Sarawak 9 hours ago

KUALA LUMPUR:  Malaysia masih mempunyai masa untuk berunding bagi mendapatkan terma dagangan yang lebih baik susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pelaksanaan tarif kepada 1 Ogos, 2025, berbanding tarikh asal pada 9 Julai, kata CIMB Securities Sdn Bhd.

Menerusi nota penyelidikannya hari ini, firma itu berkata AS telah memberi isyarat bahawa kadar tarif itu berpotensi untuk dikurangkan jika Malaysia bersetuju menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif tertentu atau komited melabur secara langsung dalam kemudahan pembuatan di AS.

Pasaran juga, katanya, mengunjurkan kadar tarif lebih rendah terutamanya selepas kejayaan rundingan Vietnam yang menyaksikan penurunan tarif kepada 20 peratus berbanding angka asal sebanyak 46 peratus.

Firma itu berkata keputusan Presiden Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia yang melebihi kadar terdahulu sebanyak 24 peratus, hanya meningkatkan tekanan luaran, terutama ke atas sektor berorientasikan eksport seperti elektronik, jentera, sarung tangan dan perabot yang mempunyai pendedahan besar terhadap pasaran AS.

“Perkembangan ini memberi risiko penurunan terhadap unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 Malaysia sebanyak 4.3 peratus yang berdasarkan senario tarif lebih sederhana iaitu 10 peratus.

“Andaian sebelum ini menunjukkan tarif sebanyak 24–25 peratus boleh mengurangkan pertumbuhan sehingga 0.3 mata peratusan (pp) yang memberi gambaran unjuran asas baharu sekitar 4.0 peratus sekiranya tiada perjanjian yang lebih baik dapat dicapai,” katanya.

Setakat ini, CIMB Securities masih mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.3 peratus sementara menunggu tempoh butiran lebih jelas menjelang tarikh penguatkuasaan baharu.

Namun, pada masa sama, ia mengunjurkan kecenderungan penurunan sekiranya rundingan perdagangan itu gagal menghasilkan keputusan yang lebih memberi manfaat.

Selain itu, firma berkenaan turut mengekalkan unjuran pendapatan KLCI dan sasaran indeks pada 1,560 mata selepas mengambil kira impak tarif AS yang lebih tinggi.

“Kami menjangkakan KLCI kekal dalam julat semasa bagi tempoh terdekat dengan risiko penurunan apabila pasaran menilai prospek Malaysia untuk merundingkan tarif pada kadar lebih rendah,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: AMM ke-58: Anwar terima kunjungan hormat Menteri-Menteri Luar, Setiausaha Agung ASEAN
Next: Pelbagai bantuan kewangan kepada B40, SST pacu kestabilan ekonomi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.