
KOTA SAMARAHAN: Seramai 224 peserta telah menyertai Program Pembangunan Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak sejak 2022, dengan 80 peratus daripada mereka berjaya memperoleh pekerjaan tetap dalam bidang latihan masing-masing.
Majlis Penyampaian Sijil bagi Kursus Asas Perancah Tahap 1 telah berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan, dengan kehadiran Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad sebagai tetamu kehormat.
Semawi berkata, PLKK merupakan inisiatif penting jabatan untuk membantu Ketua Isi Rumah (KIR) atau ahli keluarga penerima bantuan agar dapat berdikari melalui kemahiran pekerjaan.
“Dengan mengikuti latihan seperti ini, mereka mampu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk memasuki dunia pekerjaan, sekali gus mengubah kehidupan diri dan keluarga,” katanya.

Menurut beliau, daripada keseluruhan peserta, seramai 197 peserta telah berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang yang mereka dilatih, manakala 27 orang lagi kini bekerja secara sambilan sementara menanti peluang pekerjaan tetap.
Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah peserta masih kecil berbanding jumlah keseluruhan penerima bantuan di Sarawak yang mencecah 55,845 orang.
Beliau mengesa agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempergiatkan kerjasama strategik dengan pelbagai penyedia latihan sama ada dari agensi kerajaan mahupun sektor swasta bagi memperluas peluang latihan kepada kumpulan sasar.
“Saya difahamkan semua pelatih program ini juga akan menerima tawaran pekerjaan daripada syarikat yang telah dikenal pasti oleh penyedia latihan. Ini satu perkembangan yang amat positif,” tambahnya.
Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada individu, malah memberi manfaat jangka panjang kepada keluarga penerima bantuan dengan menyediakan jalan keluar daripada kitaran kemiskinan.
Oleh Norman B