
SARATOK: Pasukan Spaoh A dinobatkan juara Kejohanan Hoki 12 Tahun Kebawah (TKB) Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Betong 2025 anjuran Zon Saratok yang telah diadakan di Gelanggang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Min Syn, baru-baru ini.
Pasukan tersebut menunjukkan aksi mantap dan konsisten sepanjang kejohanan sekali gus melayakkan mereka bergelar johan.
Tempat kedua pula dirangkul oleh pasukan Spaoh B, manakala pasukan Debak dan Saratok B berkongsi tempat ketiga bersama selepas tertewas di peringkat separuh akhir.
Majlis penangguhan kejohanan dan penyampaian hadiah kepada semua pemenang telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
“Tahniah diucapkan kepada semua pasukan, jurulatih, guru pengiring serta ahli jawatankuasa pengelola yang telah memastikan kelancaran kejohanan ini. SJKC Min Syn turut diberi penghargaan atas kesudian menjadi tuan rumah kejohanan.
“Kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam sukan hoki peringkat sekolah rendah, malah turut memperkukuh semangat kesukanan, kerjasama dan disiplin dalam kalangan murid,” kata Mohamad Duri dalam satu kenyataan.
Turut hadir Pengerusi Majlis Guru Besar Malaysia Zon Saratok, Fitri Ramzee Ramlee, Guru Besar SJK Min Syn Saratok, Wong Poh Tien serta ahli jawatankuasa Majlis Guru Besar Malaysia Zon Saratok.
Oleh Adi Safarman