Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Mbappe bersemuka kelab lamanya PSG separuh akhir Piala Dunia Kelab
  • SUKAN

Mbappe bersemuka kelab lamanya PSG separuh akhir Piala Dunia Kelab

Utusan Sarawak 11 hours ago

Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe meraikan gol ketiga pasukannya ketika menentang Borussia Dortmund pada suku akhir Piala Dunia Kelab FIFA. Real menang 3-2 untuk layak ke separuh akhir. – Foto AFP

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Kylian Mbappe akan berdepan bekas kelabnya Paris Saint-Germain (PSG) buat kali pertama sejak meninggalkan kelab Perancis itu setahun lalu apabila Revolusi Real Madrid pimpinan Xabi Alonso berdepan ujian terbesar pada separuh akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi Khamis ini.

Mbappe sepatutnya diingati sebagai legenda PSG selepas mengharungi tujuh musim prolifik di kelab itu dan meninggalkan mereka sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman – 256 gol dalam 308 perlawanan.

Namun legasinya tercalar sedikit susulan caranya meninggalkan kelab, dengan ramai berasakan separuh terakhir masanya di Paris hanya dihabiskan menunggu detik sesuai untuk berpindah ke Real Madrid, kelab impiannya sejak kecil.

PSG, yang diterajui oleh Nasser Al-Khelaifi dari Qatar, tidak berpuas hati dengan tindakan Mbappe yang membiarkan kontraknya tamat untuk menyertai Real secara percuma pada 2024 – satu langkah yang menafikan mereka sebarang yuran perpindahan.

Pertikaian undang-undang yang tegang berlangsung sejak itu, dengan Mbappe mendakwa PSG berhutang sebanyak 55 juta euro (RM273 juta) dalam bentuk gaji dan bonus yang tidak dibayar sepanjang tempohnya bersama kelab itu.

Perkembangan terbaharu hadir minggu ini apabila salah seorang peguam Mbappe memaklumkan mereka menarik balik aduan gangguan moral terhadap bekas majikannya itu.

Namun semua itu sepatutnya menjadi sejarah buat Mbappe, lebih-lebih lagi selepas musim pertamanya yang cemerlang bersama Real Madrid.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang memenangi Piala Dunia 2018, menjaringkan 43 gol dalam 56 perlawanan bagi semua pertandingan musim lalu – satu rekod yang mengagumkan.

Namun begitu, dia mengharungi detik mengecewakan dalam saingan Piala Dunia Kelab apabila tidak beraksi langsung pada peringkat kumpulan akibat serangan virus di perut yang memaksanya menerima rawatan di hospital.

Ketiadaan Mbappe membuka ruang buat penyerang muda Gonzalo Garcia menyerlah, dengan dia beraksi dalam kelima-lima perlawanan dan menjaringkan empat gol, termasuk gol pembukaan ketika menang 3-2 ke atas Borussia Dortmund pada suku akhir di Stadium MetLife awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun Mbappe tampil mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol ketiga Real – satu sepakan akrobatik bergaya yang menjadi penentu perlawanan pada masa kecederaan selepas dimasukkan pada babak kedua.

“Dia masih belum berada pada tahap terbaik, belum 100 peratus, tetapi semakin pulih setiap hari,” kata Alonso selepas perlawanan.

“Kini dia ada tiga hari lagi untuk terus pulih dan bersedia bagi separuh akhir.”

Sukar untuk membayangkan Mbappe tidak diturunkan dalam kesebelasan utama menentang PSG, kelab yang akhirnya menjulang Liga Juara-Juara musim ini – ironi selepas sekian lama gagal melakukannya ketika dia mewakili mereka.

PSG hadir ke kejohanan ini dengan keyakinan tinggi selepas membelasah Inter Milan 5-0 pada final Liga Juara-Juara dan mara ke separuh akhir Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Bayern Munich 2-0 di Atlanta meskipun kehilangan Willian Pacho dan Lucas Hernandez yang dibuang padang.

“Kami tidak kisah siapa lawan kami di separuh akhir. Yang penting kami sudah sampai ke sini dan kami mahu ke final,” kata pengendali PSG, Luis Enrique, yang juga pernah bermain untuk Real Madrid selama lima tahun pada era 1990-an.

Sementara itu, Alonso yang baru sahaja mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Real selepas kejayaan gemilang bersama Bayer Leverkusen, memperagakan kebolehan taktikal yang hebat – bergilir antara sistem pertahanan empat bek dan tiga pertahanan tengah sepanjang kejohanan.

Kini menjadi persoalan menarik sistem mana yang akan digunakan dan sama ada Mbappe akan diturunkan dari awal untuk menentang PSG buat kali pertama sejak Julai 2017, ketika dia masih menjadi bintang remaja sensasi di AS Monaco. – AFP

Continue Reading

Previous: Rundingan bersama Pearly – Thinaah sangat positif – BAM
Next: Kuching Zumba Fiesta sasar pecah dua rekod Malaysia sempena ulang tahun ke-10

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.