Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Malam Pavilion BCF 2025 raikan keindahan budaya Melayu Melanau
  • Tengah
  • WILAYAH

Malam Pavilion BCF 2025 raikan keindahan budaya Melayu Melanau

Utusan Sarawak 13 hours ago
RASMI…Sharifah Ainie Sayeed Alwie (kanan) bersama Kaunselor Norizan Sanyut memukul gendang sebagai simbolik perasmian Malam Pavilion Melayu Melanau BCF 2025.

SIBU: Warisan budaya Melayu Melanau terus diperkasa melalui penganjuran Malam Pavilion Melayu Melanau sempena Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2025 yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini malam tadi.

Acara yang mengetengahkan elemen tradisi masyarakat Melayu Melanau itu mendapat sambutan hangat pengunjung pelbagai kaum, sekali gus memperlihatkan komitmen dalam usaha memelihara dan memperkenalkan khazanah budaya etnik kepada masyarakat umum, terutamanya generasi muda.

Pemanca Sharifah Ainie Sayeed Alwie, yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, penganjuran pavilion berkenaan merupakan platform penting dalam memperkukuh identiti budaya serta membina semangat muhibah antara kaum

“Pesta Kebudayaan Borneo ialah platform terbaik untuk kita memperkenalkan dan memelihara keunikan setiap etnik di Borneo, dan malam ini memberi fokus kepada warisan Melayu Melanau mulai daripada bahasa, makanan, pakaian, sehinggalah kepada muzik dan tarian,” katanya ketika merasmikan malam tersebut.

Beliau turut menggesa agar semua pihak terus menyokong usaha melestarikan budaya etnik agar tidak pupus ditelan arus permodenan.

“Kita tidak mahu warisan ini hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Ia mesti terus hidup dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain,” tegasnya.

Kaunselor Norizan Sanyut (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Sharifah Ainie Sayeed Alwie pada majlis Malam Pavilion Melayu Melanau BCF 2025 malam tadi.

Pengerusi Malam Pavilion Melayu Melanau BCF 2025, Kaunselor Norizan Sanyut berkata pelbagai aktiviti disusun bagi menonjolkan keindahan serta keunikan budaya Melayu Melanau.

Antara yang menarik perhatian pengunjung termasuk pameran pelamin perkahwinan tradisional, demonstrasi urutan tradisional, persembahan tarian dan muzik etnik, serta jualan pelbagai makanan tradisional dan moden.

“Pelamin tradisional yang dipamerkan bukan sekadar hiasan, tetapi mewakili nilai simbolik yang kaya dalam adat perkahwinan Melayu Melanau,” katanya.

Beliau menambah, tema ‘Rhythm of Borneo’ yang diketengahkan selaras dengan aspirasi festival untuk meraikan kepelbagaian budaya melalui seni tari dan muzik.

Penganjuran malam tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada Persatuan Melanau Sibu dan PUSTAKA Sibu yang memainkan peranan dalam menjayakan pameran serta aktiviti sepanjang festival berlangsung.

Norizan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk penggiat budaya, ketua masyarakat, sukarelawan dan peniaga tempatan yang memberi komitmen penuh menjayakan malam kebudayaan itu.

“Warisan budaya kita bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk terus dihidupkan dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Bomba Bintangor bantu angkat pesakit obesiti ke dalam ambulans
Next: Aktiviti mengecat pili bomba wujudkan semangat kebersamaan komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.