
KUCHING: Minat yang berputik sejak kecil kini berkembang menjadi satu bentuk keusahawanan dalam kalangan anak muda.
Myra, pembuat kek berusia 21 tahun dari Kuching, giat mengusahakan jenama pencuci mulut buatan sendiri yang dikenali sebagai Munchie by Myra.
Segalanya bermula daripada kebiasaan hujung minggu di dapur bersama ibu dan kakaknya. Aktiviti membakar kek yang pada mulanya hanya dilakukan untuk keseronokan, kini menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya.
“Membakar kek sentiasa memberi kegembiraan dan menjadi ruang untuk saya berkarya,” katanya ketika ditemu bual, baru-baru ini.
Minat yang berterusan itu akhirnya membawanya melanjutkan pengajian dalam bidang seni kulinari di Le Cordon Bleu Kuala Lumpur.


SENTIASA mendapat permintaan tinggi, soft cookies lembut dan penuh rasa.
Pengalaman pembelajaran secara langsung di sana memperkukuh kemahirannya dalam penyediaan pencuci mulut serta memperluas pemahamannya terhadap gabungan rasa, teknik dan persembahan.
Selesai pengajian, Myra mula menerima tempahan secara kecil-kecilan daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat. Seorang rakan yang sentiasa menyokong memberinya dorongan untuk membuka akaun perniagaan di media sosial. Dari situ, Munchie by Myra mula mendapat perhatian umum.
“Nama ini saya pilih kerana ia mudah diingati, ringkas dan menyerlah. Saya juga mahu ia bermula dengan huruf ‘M’ sebagai sentuhan peribadi,” jelas Myra.
Rutin hariannya bermula pada waktu pagi dengan kerja penyediaan seperti menyusun kotak, mengira kuantiti ramuan mengikut jumlah tempahan dan seterusnya menjalankan proses membakar serta menghias setiap pencuci mulut secara segar.
Setelah siap, pesanan dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan e-hailing atau diambil sendiri oleh pelanggan.


TART buah-buahan antara sajian pencuci mulut yang ditawarkan
Dalam menjalankan perniagaan, Myra tidak terlepas daripada berdepan cabaran.
“Ada masanya kek terlebih bakar, tidak menjadi atau rosak pada saat akhir. Apabila perkara seperti itu berlaku, saya akan bertenang, buat semula dengan lebih teliti dan pastikan kualitinya lebih baik.
“Kesilapan adalah sebahagian daripada proses,” ujarnya.
Menurut Myra, sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat amat memberangsangkan.
Sokongan yang diterima melalui kenalan rapat, pelanggan tetap serta promosi dari mulut ke mulut banyak membantu mengukuhkan jenamanya.

Beliau turut menekankan pentingnya hubungan baik dengan pelanggan.
Myra sering berkomunikasi secara langsung melalui media sosial untuk mengambil maklum balas dan berkongsi perkembangan terkini.
“Saya masih belajar, tetapi sangat penting untuk sentiasa terbuka terhadap maklum balas, memahami kehendak pelanggan dan terus menambah baik apa yang ada,” katanya.
Tambahnya, turun naik dalam dunia perniagaan adalah perkara biasa dan tidak wajar dijadikan alasan untuk berputus asa.
“Yang penting ialah kehadiran secara konsisten, penambahbaikan yang berterusan dan kesediaan untuk berubah mengikut keadaan,” katanya mengakhiri temu bual.
Munchie by Myra kini semakin berkembang dalam landskap dunia pembuat kek di Kuching dan menjadi contoh kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang keusahawanan makanan secara kecil-kecilan dengan pendekatan moden dan berdaya saing.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi beliau di Instagram, @munchie_desserts untuk membuat tempahan.
Oleh Amanda L.