Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • UPM Sarawak dalam 50 dekad
  • KOLUMNIS

UPM Sarawak dalam 50 dekad

Utusan Sarawak 6 hours ago

SELEPAS penubuhan Malaysia, perkembangan pendidikan di Sarawak telah berkembang dengan pesat.

Dari zaman penjajahan Brooke hingga British, pendidikan di Sarawak hanya di peringkat sekolah rendah dan menengah serta maktab perguruan tetapi ia mula bertambah rancak selepas kemerdekaan.

Ini kerana Sarawak mula membangun dengan pelbagai institusi pendidikan bertaraf tinggi. Salah satunya ialah penubuhan cawangan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) di Sarawak. UPM merupakan antara institusi pendidikan tertinggi yang tertua dan terawal menabur khidmatnya di Sarawak.

Penubuhan

Sebelum pergi lebih jauh, perlu dilihat dahulu sejarah awal penubuhan UPM di Malaysia. Sejarah awal UPM bermula apabila Sekolah Pertanian ditubuhkan di Serdang, Selangor pada 31 Mei 1931. 

Usaha menubuh sekolah pertanian ini penting untuk meningkatkan ekonomi berasaskan pertanian dan penternakan di Tanah Melayu ketika itu.

Pelajar dan kakitangan dari Sarawak juga pernah dihantar untuk mendapat ilmu di sekolah ini. Malahan mereka mendapat latihan yang berguna untuk dibawa balik ke Sarawak.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengisytiharkan penjenamaan semula Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS). Majlis pengisytiharan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang baru-baru ini.

Selepas Perang Dunia Kedua, Sekolah Pertanian di Serdang ini dinaiktaraf sebagai Kolej Pertanian Malaya pada 1947. Kemudianya kolej ini digabungkan dengan Fakulti Pertanian Universiti Malaya yang membentuk entiti baharu iaitu Universiti Pertanian Malaysia.

Dr Mohd Rashdan Baba yang merupakan pengetua Kolej Pertanian Malaya telah dilantik sebagai Naib Canselor untuk UPM yang pertama. 

UPM memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973. Ketika itu hanya terdapat tiga fakulti sahaja. Pada 3 April 1993, nama UPM ditukar dari Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia oleh Perdana Menteri ketika itu (Tun) Dr Mahathir Mohamad.

Penjenamaan UPM ini menunjukkan UPM bergerak ke arah bidang lebih luas meliputi bidang sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara.

Langkah ke Sarawak

Selepas penubuhannya, UPM melebarkan sayapnya ke Sarawak. Sebuah cawangan UPM telah didirikan pada asalnya di Semengok iaitu 12 batu dari Kuching. 

Namun demikian, kampus UPM di Semengok ini merupakan kampus sementara. Kampus cawangan tetap UPM dicadangkan di Bintulu.

Satu kawasan seluas 1,765 ekar telah disediakan untuk pembinaan kampus tersebut. Kawasan 250,000 ekar lagi dikhaskan untuk kampus tetap di Bintulu. 

Ketika itu jangkaan kakitangan diperlukan sama ada akademik dan sokongan adalah kira-kira 1,200 orang, manakala jangkaan pelajarnya sekitar lebih 2,000 orang.

Penubuhan kampus UPM di Sarawak bermula pada 1974. Ia telah dipindahkan ke Bintulu pada 1987.  Kampus awal ini mengandungi 60 bangunan meliputi bangunan pentadbiran, asrama, dewan kuliah, makmal, perpustakaan dan tempat makan.

Dalam kerancakan perkembangan UPM ini, kampusnya di Bintulu pula ditutup pada 1992. Penutupannya ini menjadi satu tanda tanya kerana institusi pengajian tinggi ini telah memainkan peranan penting di Sarawak. 

Pembukaan

Setelah kira-kira sembilan tahun ditutup, UPM cawangan Bintulu dibuka semula.  Sejak itu UPM cawangan Bintulu menjalankan pelbagai penyelidikan dan kerjasama strategik dengan kerajaan Sarawak.

Antara penyelidikan yang dilakukan oleh UPM cawangan Bintulu adalah dalam sektor makanan di Sarawak. Salah satu penyelidikan ini adalah penyelidikan di Bario pada 2017. 

Kajian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidikan ini adalah menghasilkan makanan bebas racun perosak dengan menggunakan pengeluaran input yang minimum. 

Kajian ini juga mendapat kerjasama agensi kerajaan Sarawak iaitu Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

UPM cawangan Bintulu juga melakukan kerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak untuk melakukan ekspedisi di Taman Negara Bukit Kana. 

Tujuan melakukan ekspedisi ini adalah untuk mengenal pasti dan merekodkan biodiversiti di kawasan tersebut. Program kerjasama ini dilakukan pada 2018 telah membantu usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hutan di taman negeri tersebut. 

Secara tidak langsung kerjasama ini menjadi asas kepada usaha memperkasakan Pelan Pengurusan Taman Negara Bukit Kana.

Kerjasama

Pada 2021 satu kerjasama lebih erat digerakkan antara UPM cawangan Bintulu dengan kerajaan Sarawak. Hal ini berkenaan dengan penubuhan Kerusi Pehin Sri Adenan Satem (Kursi Tok Nan).

Kerajaan negeri memperuntukan dana sebanyak RM2.54 juta untuk menjayakan penubuhan kursi tersebut. 

Dalam hal ini menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerusi ini akan melakukan penyelidikan etnik di Sarawak dengan tumpuan khas terhadap budaya, bahasa, pemikiran manusia, adat seni dan warisan tradisional.

UPM Bintulu.

Dalam usaha meningkatkan lagi kecemerlangan kampus ini, UPM cawangan Bintulu sering membantu dalam agenda pembangunan kerajaan Sarawak. 

Bertepatan dengan kedudukan kampus tersebut di bahagian tengah Sarawak, kampus itu pada 2024 memperkenalkan ijazah sarjana dalam tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). 

Perancangan ini bertepatan dengan usaha membantu kerajaan negeri dalam pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Penjenamaan

Pada penghujung Jun 2025 satu lagi peristiwa bersejarah berlaku ke atas kampus ini adalah penukaran nama UPM Cawangan Bintulu kepada UPM Sarawak.

Penjenamaan ini telah dipersetujui oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM.

Dalam ucapan pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan bahawa baginda amat berbangga dengan pencapaian universiti ini yang bukan sahaja sebagai satu pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan negara, khususnya di Sarawak.

Baginda menambah lagi bahawa universiti ini telah muncul sebagai sebuah institusi yang berdaya saing di rantau Borneo dan juga di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Abang Johari berkata bahawa penjenamaan ini memperkukuhkan UPMS yang selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan dan tenaga boleh diperbaharui.

Penjenamaan ini menunjukkan bahawa UPM Sarawak melangkah satu lagi fasa kerjasama lebih erat dalam membangunkan Sarawak sebagai hab ekonomi pertanian dan membantu negara dalam isu-isu keterjaminan makanan.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Sejarah pesawat tempur di udara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.