Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN Sarawak lulus RUU untuk tambah 17 kerusi DUN, kepada 99
  • SEMASA

DUN Sarawak lulus RUU untuk tambah 17 kerusi DUN, kepada 99

Utusan Sarawak 7 hours ago

Abdul Karim ketika menggulung perbahasan RUU Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 pada sidang khas DUN hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang mencadangkan penambahan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99, telah diluluskan pada sidang khas DUN Sarawak hari ini.

RUU itu yang dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah diluluskan setelah dibahas oleh 29 ADUN blok kerajaan dan dua ADUN pembangkang.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar mengumumkan kelulusan itu selepas mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Abdul Karim ketika menggulung perbahasan menyatakan ini adalah pertambahan kerusi DUN terbesar pernah dilalukan, mungkin tertinggi berbanding negeri lain  di Malaysia.

“Mungkin mengambil masa 10 tahun atau lebih sebelum kita melihat peningkatan berikutnya,” katanya untuk bacaan kali ketiga RUU itu.

Beliau berkata komposisi baharu sebanyak 99 kerusi DUN itu dijangka dilaksanakan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, pertambahan kawasan pilihan raya negeri adalah langkah penting bagi membuka jalan untuk sebarang peningkatan perwakilan di peringkat Persekutuan pada masa depan.

“Diharapkan langkah ini akan dapat dilihat dalam peningkatan bilangan kerusi Parlimen seterusnya menyokong permintaan kami agar satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat diwakili Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak,” katanya.

“DUN perlu kekal relevan dan peka terhadap perubahan struktur demografi serta tuntutan representasi yang lebih adil bagi memastikan suara rakyat terus didengar,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa RUU ini bukan sekadar berkait dengan persempadanan kawasan, tetapi lebih kepada memastikan keperluan rakyat dari seluruh pelusuk negeri diangkat serta diwakili secara efektif oleh ADUN masing-masing dalam perancangan pembangunan.

Menafikan tuduhan dua ADUN daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Abdul Karim menolak dakwaan kononnya RUU ini bertujuan memperkukuh kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kerajaan negeri atau GPS tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kedudukan 17 kerusi tambahan tersebut kerana ia adalah hak mutlak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” tambahnya.

Sebelum itu, ketika membentangkan RUU itu, Abdul Karim berkata peningkatan yang dicadangkan adalah perlu bagi memastikan komposisi DUN selaras dengan perubahan demografi Sarawak, pertumbuhan bandar dan keperluan perwakilan yang lebih adil, terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Beliau berkata komposisi semasa sebanyak 82 ahli yang dipilih, seperti yang ditetapkan di bawah Ordinan DUN (Komposisi Keanggotaan) 2014 kini akan dimansuhkan dan digantikan dengan RUU yang baru diluluskan itu.

Bilangan kerusi DUN telah ditambah secara berkala daripada 48 pada 1969, kepada 56 pada 1985, 62 pada 1995, 71 pada 2005 dan akhirnya 82 pada 2014.

RUU baharu ini selaras dengan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan semakan sempadan pilihan raya tidak kurang daripada setiap lapan tahun.

Kali terakhir proses persempadan semula kawasan pilihan raya di Sarawak adalah pada 2015.

Oleh Amanda L.

Continue Reading

Previous: 11 Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak dilantik semula
Next: Persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak ditentukan oleh SPR, bukan kerajaan negeri 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.