
PETRA JAYA: Penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan rakyat serta menjamin tadbir urus kerajaan yang lebih cekap dan teratur.
Menurut Dato Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok), langkah tersebut juga penting dalam mengimbangi agihan beban tugas dalam kalangan wakil rakyat sejajar pertambahan penduduk dan keluasan geografi negeri ini.
“Kawasan pilihan raya yang terlalu besar menyulitkan wakil rakyat untuk sentiasa berhubung dengan pengundi, apatah lagi bagi kawasan pedalaman yang berdepan kekangan logistik dan akses fizikal.
“Jika kawasan dibahagi kepada unit yang lebih kecil, wakil rakyat dapat memberi perhatian lebih tertumpu terhadap keperluan rakyat setempat, terutama di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN Sarawak 2025 dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Tambah beliau, langkah itu akan membolehkan penyampaian khidmat rakyat lebih efisien serta memperkukuh hubungan akar umbi antara wakil rakyat dan masyarakat.
“Pembahagian kawasan yang lebih seimbang turut membuka ruang kepada agihan dana pembangunan yang lebih adil, telus dan menyeluruh.
“Melalui penambahan kerusi ini, kita dapat melaksanakan projek pembangunan kecil berimpak tinggi berdasarkan keperluan sebenar penduduk,” jelasnya.
Beliau turut menyokong penambahan kerusi di kawasan luar bandar yang disifatkan amat signifikan untuk menangani isu infrastruktur, kemudahan pendidikan, kesihatan serta peluang ekonomi rakyat.
“Penambahan ini selaras aspirasi kerajaan memastikan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar terus diperkasa.
“Usul ini bukan semata-mata soal angka, tetapi langkah memperkasakan demokrasi, menjulang suara rakyat dan merapatkan jurang pembangunan,” tegasnya.
Oleh Masrin Affirah