
SIBU: Suasana di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 bergema dengan alunan muzik tradisional dan kontemporari apabila kumpulan muzik terkenal, Ensemble Melayu Nusantara (EMN), mengadakan persembahan memukau di Pentas Utama sempena Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2025 pada 4 Julai lalu.
Persembahan yang berlangsung pada malam itu disambut dengan sorakan gemuruh oleh ribuan pengunjung tempatan serta pelancong dari dalam dan luar negara. Kemuncak suasana tercetus apabila penonton turut menyertai tarian secara spontan di padang menerusi lagu Joget Gadis Sarawak.

Menurut Ketua dan Penyelaras EMN, Dr. Kamil Salem, penyertaan mereka dalam BCF 2025 merupakan satu penghormatan besar buat kumpulan tersebut.

“Ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi satu usaha membawa kembali semangat dan budaya nusantara ke pentas yang lebih luas. BCF merupakan platform yang signifikan dalam memperkenalkan muzik warisan kepada generasi muda,” katanya selepas persembahan.
Malam itu, EMN tampil dengan formasi istimewa yang menampilkan Fauziah Gambus sebagai penyanyi utama dan pemain gambus, Halim Hisamuddin sebagai vokalis kedua, serta barisan pemuzik handalan iaitu Deen (bass), Dadi (dram), Ainal Johari (perkusi), dan Firlany Malik (arkodian/seruling).

Persembahan turut dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan penari tempatan, Kaki Seni Gerhayu Sibu, di bawah pimpinan koreografer terkenal Ad Ashraff, yang menambah elemen visual mempesona di pentas.
EMN membuka persembahan dengan lagu Laksamana Raja Di Laut, disusuli Ampuk Ampuk Bulan (ciptaan Allahyarham Ismail Matusin), Tegeleng-Geleng (ciptaan Zamhari Alkazam, dalam dialek Melayu Sarawak), dan Joget Gadis Sarawak (ciptaan dan terbitan Dr. Kamil Salem bersama Allahyarham Pak Ngah Dato Suhaimi dengan lirik dalam dua versi iaitu bahasa Melayu oleh Siso dan Melayu Sarawak oleh Syamim Kamil).

Apa yang lebih membanggakan, peminat dari Sabah, Limbang, Lawas, Brunei dan Pontianak turut hadir ke Sibu semata-mata untuk menyaksikan persembahan EMN secara langsung.
Bagaimanapun, terdapat juga penonton yang meluahkan rasa kecewa apabila persembahan duet antara Fauziah Gambus dan Dr. Kamil, yang sering tular di media sosial menerusi lagu Hindustan, tidak dipersembahkan seperti yang dijangkakan.
“Kami amat terharu melihat kehadiran peminat dari seluruh pelosok Borneo. Kami tetap komited memberi persembahan terbaik sebagai tanda penghargaan,” ujar Dr. Kamil.
Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2025 yang berlangsung dari 3 hingga 10 Julai terus menjadi medan penting dalam mempertemukan pelbagai budaya dan etnik serantau. Kehadiran EMN pada edisi kali ini membuktikan bahawa muzik tradisional kekal relevan dan terus mendapat tempat di hati masyarakat pelbagai lapisan.