
SIMANGGANG: Kereta jenis Perodua Alza dilaporkan terbabas akibat tumpahan minyak di atas jalan raya dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Hollis dekat sini pagi tadi.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata mangsa yang berusia 53 tahun yang memandu kenderaan tersebut berjaya keluar sendiri daripada kenderaan dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan berhubung laporan tersebut sekitar 9.21 pagi dan seterusnya mengerahkan seramai lima anggota bomba yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Noor Faqriakmal Jamari ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku tumpahan minyak yang dipercayai menjadi punca kemalangan tersebut. Keadaan jalan yang licin menyukarkan kawalan kenderaan dan mengundang risiko kepada pengguna jalan yang lain.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudiannya telah memohon bantuan daripada anggota bomba bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas. Tindakan segera ini penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Muhammad Rais berkata pasukan bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi dengan membuat penilaian awal dengan pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum memulakan kerja pembersihan.
“Proses pembersihan jalan dilakukan menggunakan satu aliran hose reel dengan bantuan air dari tangki jentera sehingga selesai,” katanya.
Sementara itu, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Sri Aman turut memberikan rawatan awal kepada mangsa. Rawatan dilakukan di lokasi kejadian dan melibatkan cucian luka ringan ke atas mangsa.
Oleh Adi Safarman