
PETRA JAYA: Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia wajar memiliki lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjamin keadilan politik dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, terutama di kawasan luar bandar.
Wilson Nyabong Ijang (GPS – Pelagus) berkata, keluasan Sarawak yang melebihi 124,000 kilometer persegi, jauh lebih besar berbanding seluruh Semenanjung Malaysia, tidak seharusnya diwakili hanya oleh 82 ADUN, sedangkan Selangor yang jauh lebih kecil memiliki 56 kerusi DUN.
“Banyak kawasan pilihan raya kita, khususnya di luar bandar, sangat luas, berselerak dan mencabar dari segi logistik.
“Seorang wakil rakyat perlu merentasi sungai, bukit, gunung dan hutan untuk sampai ke rumah panjang, kampung dan sub-daerah dalam satu kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN 2025 pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa peningkatan populasi, jumlah pengundi dan kerumitan pentadbiran tempatan menuntut agar lebih banyak kerusi diwujudkan demi memastikan setiap rakyat Sarawak diwakili secara adil dan saksama.
“Inisiatif menambah 17 kerusi baharu bukan soal keuntungan politik, tetapi keadilan politik.
“Ia membolehkan wakil rakyat lebih dekat dengan masyarakat, memantapkan jangkauan dasar dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan,” tambahnya.
Menurutnya, kawasan yang lebih kecil juga akan membolehkan pembangunan yang lebih fokus, penglibatan rakyat yang lebih bermakna dan sebuah kerajaan yang lebih responsif.
Selain itu, Wilson turut mencadangkan agar Perlembagaan Sarawak dipinda bagi membolehkan bilangan Menteri dalam Kabinet Sarawak ditambah daripada had sedia ada iaitu 10 orang.
“Had ini merupakan legasi lapuk yang tidak lagi relevan. Ia datang daripada zaman ketika ekonomi Sarawak lebih mudah, cabaran lebih kecil dan pengaruh global kita lebih terhad.
“Namun hari ini Sarawak memimpin dalam tenaga boleh diperbaharui, teknologi hidrogen, transformasi digital, pembinaan infrastruktur berskala besar serta pelaksanaan autonomi dalam bidang kesihatan, pendidikan dan sumber asli,” katanya.
Tambahnya lagi, struktur Kabinet juga perlu diperkasakan agar lebih dinamik, khusus dan cekap selaras dengan visi Sarawak yang moden, berdaulat dan progresif.
“Pindaan ini membolehkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menubuhkankementerian yang lebih fokus, mengurangkan pertindihan bidang kuasa dan meningkatkan kecekapan pentadbiran”.
Oleh Amanda L.