
PETRA JAYA: Penambahan 17 kerusi baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merupakan langkah penting untuk memastikan perwakilan yang lebih berkesan dan menyeluruh bagi setiap komuniti, tegas Billy Sujang (GPS – Opar).
Ketika menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN 2025, beliau menekankan bahawa Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan landskap geografi memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dalam sistem perwakilan.
“Sarawak adalah unik, dengan komuniti yang tinggal di kawasan yang luas dan sukar diakses, terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar. Maka penting untuk setiap komuniti mempunyai suara yang kuat dan mudah diakses dalam Dewan yang mulia ini,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN 2025 pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
Menurut beliau, terdapat kawasan pilihan raya sedia ada yang meliputi ratusan kilometer, menjadikan ia sukar dari sudut logistik bagi seorang wakil rakyat untuk berkhidmat secara efektif kepada semua pengundi.
Menerusi pembentukan 17 kawasan pilihan raya baharu, katanya, sempadan dapat dilakar semula supaya lebih mencerminkan komposisi sebenar kumpulan komuniti, sekali gus memudahkan wakil rakyat memberikan tumpuan yang lebih responsif terhadap isu tempatan.
“Langkah ini bukan untuk keuntungan politik, tetapi satu usaha ke arah keterangkuman demokratik. Ia memastikan tiada rakyat yang tercicir hanya kerana kekangan geografi atau beban pentadbiran di Sarawak,” ujar Billy.
Beliau turut menyifatkan RUU tersebut sebagai satu penyelarasan kepada prinsip demokrasi yang matang dan bersedia untuk pertumbuhan masa depan negeri.
“Menerusi bertambahnya populasi, kita perlu bersedia dari sekarang untuk memastikan integriti pilihan raya jangka panjang terus terpelihara, dan rakyat terus mempercayai institusi demokrasi negeri ini,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, penambahan kerusi ini bukan sekadar penyesuaian pentadbiran semata-mata, tetapi satu komitmen tinggi terhadap tadbir urus yang inklusif, telus, adil dan saksama di bawah kepimpinan Premier Sarawak dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Ia mencerminkan kesiapsiagaan kita menghadapi perubahan zaman, sambil memastikan setiap komuniti, walau di mana pun berada, terus mendapat layanan setara dalam sistem demokrasi,” katanya.
Oleh Adele Rissa