
PETRA JAYA: Langkah kerajaan Sarawak menambah 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi Rang Undang-Undang Komposisi Keanggotaan Dewan Undangan Negeri 2025 disifatkan sebagai usaha tepat ke arah memastikan pembangunan yang lebih adil, seimbang dan inklusif, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin), langkah tersebut juga mencerminkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut perwakilan setimpal bagi Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia.
“Penambahan kerusi bukan sekadar soal angka tetapi lambang keadilan perlembagaan serta keseimbangan kuasa antara wilayah yang perlu diterjemahkan dalam sistem demokrasi negara.
“Rang Undang-Undang ini adalah satu penyesuaian penting terhadap struktur demokrasi kita.
“Ia bukan sahaja untuk keperluan pentadbiran tetapi untuk menjamin perwakilan rakyat yang lebih berkesan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang berkenaan pada Persidangan DUN, hari ini.
Tambah beliau, perkembangan pesat dari segi demografi dan pembangunan infrastruktur sejak persempadanan terakhir pada 2014 menuntut kerajaan negeri menilai semula keperluan jumlah kerusi DUN bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Christopher turut mencadangkan beberapa kerusi baharu bagi kawasan Tamin dan Parlimen Selangau susulan keluasan dan bilangan pengundi yang semakin meningkat saban tahun.
“Kawasan DUN Tamin kini meliputi lebih 3,472 kilometer persegi dengan lebih 23,000 pengundi manakala Parlimen Selangau merangkumi lebih 9,193 kilometer persegi dengan jumlah pengundi melebihi 45,000 orang.
“Keadaan ini menyukarkan wakil rakyat untuk melaksanakan tugas dan memberi khidmat secara menyeluruh, lebih-lebih lagi apabila kawasan yang diliputi adalah pedalaman dan berbukit,” jelasnya.
Antara cadangan yang dikemukakan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) menerusi jawatankuasa persempadanan GPS termasuklah penubuhan kerusi Bukit Arip yang melibatkan sebahagian kawasan Tamin dan Kakus, Tubau yang meliputi kawasan Murum dan Kakus, Anau yang merangkumi sebahagian kawasan Jepak dan Kakus serta Mapai atau Sibu Jaya yang dicadangkan daripada gabungan kawasan Ngemah dan Dudong.
Beliau mengulas lanjut, bagi kerusi Parlimen, satu cadangan baharu turut dikemukakan iaitu Parlimen Bukit Buan yang merangkumi sebahagian kawasan Kakus dan Tamin di bawah Parlimen Selangau.
“Cadangan ini dibuat berpandukan kepada taburan pengundi, geografi yang terpencil serta keperluan pembangunan yang memerlukan perancangan lebih tersusun dan bersasar.
“Penambahan kerusi ini adalah satu pelaburan masa depan bagi memastikan tiada kampung, tiada rumah panjang dan tiada komuniti yang tertinggal,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah