Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Pelaburan strategik demi demokrasi Sarawak
  • SEMASA

DUN: Pelaburan strategik demi demokrasi Sarawak

Utusan Sarawak 1 day ago
DAYANG Noorazah Awang Sohor (GPS – Lingga) semasa membahaskan RUU Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 pada Mesyuarat Khas di DUN Sarawak, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan Dewan Undangan Negeri 2025 merupakan pelaburan strategik jangka panjang terhadap masa depan demokrasi dan tadbir urus yang lebih baik di Sarawak, bukan satu pembaziran kewangan.

Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS – Lingga) berkata, walaupun pelaksanaannya melibatkan kos, perbelanjaan tersebut adalah berpatutan dan mampu ditanggung memandangkan kedudukan fiskal Sarawak yang kukuh ketika ini.

“Demokrasi ialah satu pelaburan, bukan perbelanjaan. Kos tadbir urus memang wujud, tetapi kos tadbir urus yang lemah jauh lebih besar. 

“Kekurangan wakil rakyat hanya membawa kepada pembangunan tidak terancang, pembaziran sumber dan kelemahan penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 pada Mesyuarat Khas di DUN Sarawak, di sini hari ini.

Menurutnya, penambahan 17 kerusi baharu, iaitu peningkatan sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi, adalah wajar dan sejajar dengan pertambahan bilangan pengundi di Sarawak yang telah meningkat hampir dua kali ganda sejak persempadanan terakhir

“Kalau soal kos menjadi kebimbangan utama, saya tanya semula, apa yang lebih membazir? Tambah sedikit kerusi, atau biarkan 82 ADUN sedia ada terbeban hingga gagal memberi perkhidmatan berkesan kepada rakyat?”

Tambahnya lagi, logik ‘kerja lebih kuat’ tidak sesuai dalam konteks perkhidmatan awam kerana ia hanya membawa kepada keletihan, pengurangan keberkesanan dan rakyat yang terpinggir.

“Kita tidak minta seorang doktor rawat 10,000 pesakit, kita tambah doktor. Kita tidak minta seorang anggota bomba jaga 10 daerah, kita tambah balai. 

“Maka, kita juga harus tambah wakil rakyat sekiranya kita benar-benar mahu tadbir urus yang cekap,” jelasnya.

Dayang turut menegaskan bahawa pertambahan kerusi bukan satu bentuk pembaziran politik, sebaliknya langkah membetulkan ketidakseimbangan sistemik supaya semua rakyat Sarawak mendapat suara yang adil dalam sistem demokrasi.

“Dewan yang lebih besar akan membolehkan penyeliaan yang lebih teliti terhadap dana awam, memberi suara yang lebih kukuh kepada kawasan luar bandar dan memastikan tiada kawasan yang tercicir dalam arus pembangunan.”

Katanya, menolak perubahan atas alasan ingin menjimatkan belanja bukanlah cerminan disiplin fiskal, malah menunjukkan kecuaian dalam merancang keperluan masa depan negeri ini.

“Sikap menolak perubahan bukan satu bentuk ketelitian kewangan, tetapi satu bentuk kecuaian fiskal,” katanya mengakhiri perbahasan.

Oleh Amanda L

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Penambahan kerusi DUN lonjak pembangunan holistik – Royston
Next: DUN: Cadangan kerusi baharu di Tamin, Selangau susulan pertambahan pengundi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.