Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Penambahan 17 kerusi DUN perkukuh wakil rakyat Sarawak
  • SEMASA

DUN: Penambahan 17 kerusi DUN perkukuh wakil rakyat Sarawak

Utusan Sarawak 1 day ago
CHIENG Jin Ek (GPS- Bukit Assek) semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri,di sini hari ini. -Foto UKAS

PETRA JAYA: Penambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kepada 99 merupakan langkah penting dalam memastikan suara rakyat Sarawak terus diwakili dengan lebih efektif dan inklusif, kata Chieng Jin Ek (GPS- Bukit Assek).

Menyokong penuh Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang dibentangkan di DUN hari ini, beliau menegaskan bahawa cadangan menambah kerusi ini selaras dengan realiti semasa di lapangan dan beban tugas yang semakin meningkat.

“Kerusi DUN sedia ada diperkenalkan pada 2014, lebih sedekad lalu. Sejak itu, keperluan rakyat, skala kerja kawasan dan kerumitan dasar kerajaan terus berkembang,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN 2025 pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran yang dihadapi oleh ADUN di kawasan besar dan berpenduduk padat, yang sering kali terpaksa melayani puluhan ribu pengundi di kawasan yang luas dan berselerak.

“Keadaan ini menyukarkan wakil rakyat untuk mendekati dan berinteraksi secara mendalam dengan setiap komuniti. RUU ini bukan sahaja memastikan rakyat terus diwakili, tetapi juga diwakili dengan baik dan bermakna,” tegasnya.

Menurut Chieng, cadangan penambahan kerusi ini juga berperanan membawa tadbir urus lebih dekat kepada rakyat dan memastikan penyampaian perkhidmatan kekal efisien, menyeluruh dan berfokuskan rakyat.

Tambah beliau, kawasan pedalaman yang suatu ketika dahulu dianggap terpencil kini memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan negeri, termasuk perancangan infrastruktur, reformasi pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pertumbuhan ekonomi.

“Namun, pembangunan tanpa perwakilan yang setara boleh menyebabkan ketidakseimbangan dan ketempangan dalam pelaksanaan dasar. 

Maka, memperluas keanggotaan dewan ini adalah langkah tepat untuk memberi suara lebih kukuh kepada pelbagai kawasan dan komuniti, sama ada di kawasan pesisir, tinggi, bandar mahupun luar bandar,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa sebagai penggubal undang-undang, adalah menjadi tanggungjawab semua ADUN untuk sentiasa menyesuaikan struktur pentadbiran dengan perubahan masa dan keperluan semasa negeri.

“RUU ini tentang meletakkan rakyat di hadapan. Ia menjamin tiada komuniti dipinggirkan dan tiada suara yang terabai. Masa depan Sarawak bergantung kepada keupayaan kita untuk berubah dan berkembang seiring dengan zaman,” ujarnya.

Oleh Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Penambahan pengundi tuntut tambahan wakil rakyat
Next: DUN: Penambahan kerusi DUN lonjak pembangunan holistik – Royston

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.