
KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika memancing di perairan Pulau Lakei akhirnya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Raduan Jemat, 55 tahun, ditemui oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 12.20 tengah hari sebelum mayatnya dibawa ke Jeti Maritim, Muara Tebas dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian dilaporkan berlaku pada 6 Julai, iaitu semalam sekitar 12.27 tengah hari apabila Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa di kawasan Batu Susur, Pulau Lakei.
Berdasarkan kronologi kejadian, mangsa bersama dua rakannya, Samat Muhi dan Mos Bujang, telah pergi memancing ke Pulau Lakei menaiki bot persendirian sejak 4 Julai lalu.
Pada malam 5 Julai, ketiga-tiga mereka dikatakan tidur di atas bot sebelum Samat menyedari ketiadaan mangsa sekitar 3.40 pagi keesokannya.
Samat dan seorang lagi rakan cuba mencari mangsa di sekitar lokasi namun gagal sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Syamsyul Mustapha, melibatkan seramai enam anggota serta menggunakan satu unit bot Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (Community Fire and Rescue Team – CFRT).
Operasi turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Operasi ditamatkan selepas mayat mangsa ditemui dan urusan penyerahan selesai dilaksanakan.