
SIBU: Penyertaan pelbagai etnik dalam pertandingan Miss Festival Kebudayaan Dayak Borneo (BDCF) 2025 mencerminkan keunikan dan kepelbagaian budaya masyarakat Dayak yang diraikan sempena Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) tahun ini.
Seramai 10 finalis telah dipilih daripada 24 peserta untuk merebut gelaran Miss BDCF 2025 yang akan berlangsung pada malam kemuncak Malam Dayak, 9 Julai ini di pentas utama Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Senorita Salleh berkata, saringan awal diadakan pada 29 Jun lalu di Perpustakaan Awam Sibu dan menerima penyertaan luar biasa daripada peserta bukan sahaja dari Sibu, malah sejauh Belaga, termasuk mereka yang berbangsa Kayan dan Lahanan.
“Ini adalah satu perkembangan yang sangat positif kerana menunjukkan penyertaan yang inklusif dan mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti Dayak. Oleh kerana sambutan amat menggalakkan, kita perlu mengadakan saringan untuk memilih 10 terbaik,” katanya kepada pemberita.
Finalis yang terpilih ialah Natasha Malviana, Mesha Carlynie, Emily Rinya, Manisha Vyonnie, Amenda Alannie, Jatitup Nyambar, Daphne Herbeck Ilam, Nelly Mujan, Axiomara Tijan dan Melanie Joyce.
Pemenang Miss BDCF 2025 akan membawa pulang wang tunai RM4,000, selain mahkota, selempang, piala, hamper, bunga dan sijil penyertaan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM2,000 berserta hadiah iringan.
“Peserta tempat keempat hingga ke-10 pula akan menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan,” tambahnya.
Menurut Senorita, semua finalis akan memperagakan busana tradisional Orang Ulu pada malam pertandingan, sekali gus mempamerkan kekayaan warisan etnik yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya Borneo.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan acara berprestij itu yang dijangka dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang pada jam 7.30 malam.
Oleh Tarani Lanting