
SEPANYOL: Dion Das Louis, atau lebih dikenali sebagai ‘The Little Bornean Birdie’, sekali lagi mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia apabila meraih pingat perak dalam kategori Mini Solo National and Folklore pada pertandingan berprestij Dance World Cup, World Finals yang berlangsung pada 4 Julai lalu.
Pelajar Tahun 3 Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road ini mempamerkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa apabila berjaya menewaskan 33 peserta lain dari pelbagai negara dengan markah mengagumkan sebanyak 93.8 peratus, hanya dibezakan 0.3 markah daripada pemenang pingat emas.
Persembahan Dion menampilkan tarian etnik kreatif yang diinspirasikan daripada tarian tradisional Ngajat Iban, digabungkan dengan gerak tari dua burung ikonik Sarawak, iaitu burung ruai dan kenyalang.
Koreografi yang unik serta penuh ekspresi ini bukan sahaja mencerminkan keindahan budaya dan alam semula jadi Sarawak, malah berjaya memukau juri serta penonton antarabangsa dengan kekuatan artistik dan penghayatan budaya yang tinggi.
Meskipun persaingan sengit dengan kehadiran penari muda berbakat dari seluruh dunia, Dion tetap menonjol dengan persembahan yang bertenaga, bersemangat dan sarat dengan identiti budaya.
Bagi persembahan berdurasi dua minit itu, muzik latar khas telah digubah oleh kumpulan Sada Borneo, disusuli dengan karya kumpulan etnik kontemporari Sarawak, At Adau yang menambahkan kekuatan naratif persembahan.
Manakala kostum Dion direka oleh pereka kelahiran Sarawak yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Gilbert Headhunter, menampilkan gabungan memukau unsur tradisional dan moden.
Kejayaan Dion bukan sahaja menjadi kebanggaan buat keluarganya dan warga SK Green Road, malah turut mengangkat nama Sarawak di persada seni persembahan antarabangsa.
Kejayaan ini turut disokong oleh pelbagai pihak dan keluarga Dion menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja yang telah memberikan sokongan padu.
Antara yang terlibat ialah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Ghee Hua Group of Companies, Kelab Kaban Golf Samarahan, International Education Legacy Foundation, serta United Asia Entrepreneur Chamber of Commerce.
-UKAS