
SIBU: Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2025 bukan sekadar sambutan warisan budaya, malah menjadi pemacu penting kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan di bandar ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, pesta tahunan yang berlangsung dari 3 hingga 12 Julai di Dataran Tun Tuanku Bujang itu berjaya menarik kehadiran pelancong, jurugambar, penggemar makanan serta pencinta seni budaya dari dalam dan luar negara.
“Kehadiran ramai pengunjung memberi impak langsung kepada sektor makanan dan minuman, penginapan, pengangkutan serta peruncitan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Khas beliau, Agatha Ting, ketika merasmikan Malam Cina sempena BCF 2025 di sini, malam tadi.
Dengan tema ‘Rhythm of Borneo’, edisi tahun ini terus mengukuhkan kedudukan BCF sebagai antara acara budaya utama di Sarawak, menampilkan kekayaan warisan etnik Cina, Melayu-Melanau dan Dayak secara menyeluruh.
Tiong, yang juga ADUN Dudong, menegaskan bahawa penganjuran program seperti ini penting dalam memastikan kesinambungan tradisi dan menyemarakkan warisan budaya tempatan.
“Sarawak dikenali bukan sahaja kerana keindahan alam dan biodiversiti, tetapi juga kerana keharmonian kaum yang menjadi teras kepada pembangunan mampan, khususnya dalam sektor pelancongan,” katanya.
Beliau turut memuji penglibatan aktif generasi muda serta pertubuhan masyarakat Cina dalam menjayakan Malam Cina, terutamanya melalui persembahan seni, tarian, muzik dan sajian tradisional pelbagai kaum.
“Inilah peluang terbaik untuk memperkenalkan makanan warisan kepada generasi muda dan pelancong, sambil menonjolkan kekayaan nilai budaya,” ujarnya.
Mengulas mengenai budaya Cina di Sarawak, beliau berkata ia telah melalui proses penyesuaian dengan budaya tempatan, menjadikannya lebih mesra, dinamik dan inklusif.
“Daripada tarian singa dan naga kepada persembahan moden, semuanya mencerminkan gabungan antara tradisi dan inovasi yang menyegarkan budaya Cina di Borneo,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk terus memperkasa warisan budaya melalui pendekatan kreatif yang merangkumi kandungan, estetika, teknologi serta promosi menyeluruh.
“Kita harus menjadikan budaya bukan hanya sekadar untuk tontonan, tetapi sebagai bentuk penglibatan aktif masyarakat, lambang kebanggaan etnik dan aset pelancongan yang bernilai tinggi,” tegasnya.
Tiong turut menyuarakan harapan agar budaya Cina terus berkembang subur di Bumi Kenyalang, selaras dengan semangat perpaduan kaum demi masa depan yang lebih gemilang.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola BCF 2025, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, serta Presiden Persatuan Gabungan Cina (UCA) Sibu, Lau Ing Siong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Malam Cina.
Oleh Tarani Lanting