

PESERTA menjalankan aktiviti penanaman pokok bakau di pesisir pantai Sejingkat.
KUCHING: Sebanyak 600 pokok bakau berjaya ditanam di sepanjang pesisir pantai Stesen Janakuasa Sejingkat hasil kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Sejingkat Power Corporation (SPC), anak syarikat Sarawak Energy Berhad, semalam.
Inisiatif ini merupakan kesinambungan kerjasama antara JHS dan SPC yang telah bermula sejak 2022, dengan jumlah keseluruhan hampir 3,000 pokok bakau telah ditanam di kawasan pantai Sejingkat setakat ini.
Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memelihara alam sekitar dan melindungi ekosistem pesisir.
Program penanaman tersebut turut diadakan sempena sambutan Bulan Hari Pemuliharaan Ekosistem Bakau Antarabangsa yang diraikan pada 26 Julai setiap tahun.
Hari istimewa ini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2015 bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan ekosistem bakau yang unik dan terancam serta untuk mempromosikan pengurusan, pemuliharaan dan penggunaan lestarinya.
Sebagai agensi bertanggungjawab dalam pengurusan, pemuliharaan dan pembangunan mampan sumber hutan di negeri ini, JHS terus memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan ekosistem pesisir.
Melalui usaha kolaboratif seperti ini, JHS berhasrat untuk memastikan kelestarian biodiversiti, mengurangkan hakisan serta memperkukuh daya tahan habitat semula jadi terhadap kesan perubahan iklim.
Program ini juga selari dengan Kempen Penanaman Pokok, Perlindungan dan Pemulihan Habitat 2021-2030 anjuran Sarawak Energy, yang menyokong inisiatif Kempen Penghijauan Sarawak di bawah kendalian JHS.