Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak perkukuh ekosistem modal insan mampan melalui SCaT Fair 2025
  • PENDIDIKAN

Sarawak perkukuh ekosistem modal insan mampan melalui SCaT Fair 2025

Utusan Sarawak 23 hours ago
RAKAM KENANGAN… Datuk Len Talif Salleh (kiri) dan Dato Sri Roland Sagah Wee Inn (tengah) bersama yang lain bergambar di Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) ke-11 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

KUCHING: Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam membina ekosistem modal insan yang mampan dan sejajar dengan arus teknologi global melalui penganjuran Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) edisi ke-11 selama dua hari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Dato Sri Roland, Abang Johari menegaskan bahawa modal insan merupakan teras utama kepada kemajuan negeri.

Menurut beliau, rakyat Sarawak yang berilmu, berkemahiran dan progresif adalah pemacu kepada inovasi dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Pendidikan bukan sahaja jambatan kepada peluang, tetapi juga janji bahawa tiada sesiapa akan ketinggalan. Sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Beliau turut menggariskan pelbagai inisiatif utama termasuk Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP) dan Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP) sebagai langkah meningkatkan prestasi pelajar sekolah rendah dan menengah. 

Langkah ini diperkukuh melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) bermula tahun hadapan, bagi memastikan tiada pelajar berpotensi tinggi yang terhalang daripada melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian milik kerajaan negeri.

Di samping itu, Abang Johari turut menekankan pentingnya Kajian Dasar Pembangunan Bakat Sarawak yang sedang dilaksanakan oleh MEITD. 

Kajian ini menyeluruh merangkumi pendidikan awal hingga pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan tenaga kerja Sarawak seiring keperluan industri dan ekonomi masa depan.

Sementara itu, Pengerusi TEGAS yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata SCaT Fair 2025 menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memacu pembangunan belia Sarawak menerusi pendekatan holistik dan mesra teknologi.

Menurut beliau, acara tahun ini bukan sahaja menghimpunkan peluang pendidikan dan kerjaya, tetapi turut memperkenalkan teknologi baharu dan bidang masa depan. 

Pengisian program seperti Program Blockchain dan Kripto Sarawak, yang memfokuskan kepada Web3 dan ekonomi digital serta Cabaran CAN-SAT Roketeer Sarawak, pertandingan teknologi roket dan satelit secara kolaboratif dengan UiTM-MTC, CENTEXS dan Sarawak Skills.

“Landskap teknologi berkembang pesat. Sarawak tidak boleh leka atau ketinggalan. Belia kita perlu diberi akses kepada pengetahuan, latihan dan sokongan industri agar mampu bersaing,” ujar beliau.

Seramai 1,561 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi sesi temuduga terbuka anjuran Perkeso melibatkan lebih 40 majikan dalam pelbagai sektor.

SCaT Fair 2025 juga dimeriahkan dengan aktiviti seperti Ikon Belia Speaker Corner, Taman Permainan STEM, bengkel kemahiran,  pengalaman Dome Planetarium Sultan Iskandar serta pameran oleh institusi pengajian tinggi dan agensi latihan.

Dalam usaha memperluas impak kepada komuniti luar bandar, Program Jerayawara Projek Impian Tercapai (Pro-DR) akan diteruskan bermula hujung Julai melibatkan 14 kawasan luar bandar seluruh Sarawak. 

Program ini menyampaikan maklumat pendidikan, latihan dan bantuan kewangan terus kepada pelajar dan keluarga di pedalaman.

Datuk Len berharap SCaT Fair 2025 terus menjadi pemangkin perubahan dan ruang untuk golongan muda membina masa depan lebih cerah melalui pendidikan, latihan dan kerjaya yang bermakna.

“Saya menggesa kepada para belia untuk merebut setiap peluang yang ditawarkan dan jadikan SCaT Fair 2025 sebagai titik permulaan bagi membentuk masa depan mereka,” tambah beliau. 

Menerusi sokongan berterusan daripada kerajaan, sektor industri dan institusi pendidikan, Sarawak yakin dapat membina Gerbang Masa Depan yang lebih cerah, saksama dan mampan untuk seluruh rakyatnya.

Oleh Adele Rissa

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Pertandingan pengekodan, semai pemikiran kritis dalam kalangan pelajar
Next: SCaT Fair 2025, platform aspirasi masa depan anak Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.