
Abdul Karim ketika ditemui pemberita.
PETRA JAYA: Penambahan kerusi melalui Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 hanya membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
RUU itu dibentangkan pada sidang khas DUN Isnin ini dan dilaksanakan mengikut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata soal menambah bilangan kerusi Parlimen dilakukan kemudian.
“Penambahan kerusi DUN perlu dilaksanakan memandangkan kali terakhir ia dibuat adalah pada 2014.
“Walaupun tiada penambahan kerusi Parlimen buat masa ini, langkah itu akan memberi laluan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji persempadanan baharu bagi kerusi Parlimen kemudian.
“Kali ini kita fokus kepada penambahan kerusi di peringkat negeri. Bila DUN luluskan, secara logiknya Parlimen juga boleh meluluskan kelak.
“Terserah kepada SPR untuk menentukan lokasi penambahan kerusi dan bagaimana sempadan baharu akan ditentukan, kerana saya percaya SPR telah membuat kajian susulan Pilihan Raya Negeri lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Pra-Persidangan Khas DUN Sarawak yang dipengerusikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Tun Openg, di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.
Abdul Karim yang akan membentangkan RUU itu berkata peningkatan ketara jumlah pengundi sejak 2018 menjadikan penambahan kerusi sebagai keperluan mendesak yang telah lama tertangguh.
Mengulas kemungkinan cadangan penambahan kerusi Parlimen akan dibawa ke Dewan Rakyat seawal Ogos, Abdul Karim berkata perkara itu masih spekulatif, namun selari dengan tuntutan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk penambahan kerusi Parlimen.
“Kita sudah lama menuntut supaya kerusi Parlimen ditambah dan ini mungkin sebahagian daripada usaha ke arah mengembalikan hak kita.
“Penambahan kerusi di peringkat negeri boleh menjadi langkah awal sebelum penambahan di peringkat Parlimen dibuat,” katanya.
Sarawak kini mempunyai jumlah kawasan DUN paling banyak di negara ini dengan keseluruhan 82 kawasan, selain 31 kerusi Parlimen.
Oleh Amanda L