
PANTU: Inisiatif kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan berkualiti dengan mewujudkan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) dilihat mampu mengubah landskap pendidikan dalam melahirkan rakyat yang berilmu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menyifatkan langkah itu sebagai tepat selain membuka peluang kepada golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan berkualiti dalam suasana kondusif.
Beliau berkata YSISS jelas dapat membantu anak Sarawak terutama golongan B40 untuk mendapat pendidikan lebih baik yang bertaraf antarabangsa.
“Jadi ibu bapa di luar bandar dan pedalaman supaya mereka perlu ambil tahu bahawa Sarawak kini mempunyai sekolah yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa, jadi ibu bapa perlu mengalakkan anak-anak untuk belajar di sekolah terbabit dan berusaha sehingga mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Randau@Begunan di Rumah Rose Isa, Entulang Lalang bersempena Ngiling Tikai 2025 dekat sini baru-baru ini.
Mong turut mengucapkan tahniah kepada Penghulu Banga Munap di atas perlantikan beliau sebagai Penghulu dalam bidangkuasa Melugu Dau (Dau Baroh).
Beliau berharap semoga Penghulu Banga Munap menjalankan tanggungjawab yang telus dan saksama serta dan berterima kasih kepada Penghulu Riji Gu selaku memangku jawatan tersebut selama setahun lebih.
Berkenaan dengan media sosial terkini, Mong menerangkan bahawa banyak isu yang tidak baik serta tidak releven.
“Contohnya berkenaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Pada masa ini banyak tanah yang telah disukat dengan Seksyen 6.
“Permasalahan utama, bukannya daripada pihak kerajaan, tetapi dari pemilik itu sendiri. Sebaliknya, tidak pernah tanah yang disukat, diambil oleh pihak kerajaan. Jadi, pastikan kita tahu akan kesahihan sesuatu isu di dalam media sosial,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Mong turut mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM6,000 kepada JKKK Rumah Rose Isa, Entulang Lalang dan RM4,000 kepada biro wanita, manakala peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM50,000 untuk bina baharu stor biro wanita.
Oleh Adi Safarman