
KOTA SAMARAHAN: Forum Meja Bulat Antarabangsa Kuching: Keamanan, Keharmonian dan Belas Kasihan 2025, bertemakan “Memupuk Keamanan, Keharmonian dan Belas Kasihan untuk Masa Depan Mampan, Perpaduan Sosial melalui Keterhubungan” telah berlangsung di Dewan Syarahan, Pitas, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini.
Penganjuran forum ini bertujuan menyatukan pemimpin dasar, delegasi antarabangsa, cendekiawan, sukarelawan serta golongan belia dalam satu pertemuan penting ke arah mewujudkan masa depan yang mampan berasaskan kedamaian dan kasih sayang.
Acara ini dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan Kebajikan Komuniti Penyayang Kuching dan Unimas dengan sokongan kerajaan Sarawak serta kerjasama strategik Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Acara Perniagaan Sarawak dan beberapa penaja korporat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang dalam ucapannya menegaskan bahawa keamanan, keharmonian dan belas kasihan bukan sekadar idealisme tetapi asas penting dalam pembinaan bangsa Sarawak yang inklusif dan mampan.
“Sarawak kini membina identitinya sebagai sebuah negeri bangsa. Usaha ini semakin mencabar memandangkan dunia termasuk Malaysia semakin terbahagi, terpolarisasi dan ekstrem.
“Maka nilai seperti keamanan dan belas kasihan tidak lagi menjadi pilihan, tetapi satu keperluan,” ujar beliau ketika berucap di majlis pembukaan forum tersebut.
Beliau menambah bahawa walaupun topik ini kelihatan mudah dibicarakan hakikatnya ia amat sukar untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, keamanan dan keharmonian harus dipupuk dari setiap peringkat bermula di rumah, tempat kerja, institusi pendidikan mahupun dalam dasar kepimpinan.
“Kita perlu harmoni bukan sahaja sesama manusia tetapi juga dengan alam sekitar. Nilai ini perlu diasaskan dari dalam hati. Ia menuntut usaha berterusan, saling memahami, pertukaran pandangan dan keberanian untuk mempraktikkannya,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengaitkan forum ini dengan Strategi Pembangunan Pasca Pandemik COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang berpaksikan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran, keterangkuman dan kelestarian alam sekitar.
“Tidak kira bangsa, agama, latar belakang atau lokasi sama ada luar bandar atau bandar, kita semua adalah sebahagian daripada pembangunan negeri ini,” ujar beliau lagi.

Forum ini turut menyasarkan pengiktirafan Kuching sebagai Bandaraya Keamanan Antarabangsa menjelang tahun 2027 dan menyokong aspirasi untuk menjadi Model Bandaraya UNESCO bagi keamanan dan keharmonian.
Perjalanan ini juga selari dengan pencapaian global Sarawak yang kian mendapat perhatian badan dunia seperti WHO, UNICEF dan pengiktirafan geopark dunia oleh UNESCO yang sedang dirintis.
Antara fokus utama forum adalah penjagaan komuniti penyayang terhadap warga emas, pesakit dan golongan rentan, pendidikan berasaskan kasih sayang dan rasa syukur dalam keluarga, keharmonian pelbagai budaya serta peranan kepimpinan belas kasihan dalam pembangunan bandar lestari.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur dan semua peserta forum, terutamanya wakil antarabangsa, yang hadir atas semangat dan keikhlasan hati, meskipun topik seperti ini jarang mendapat perhatian mahupun penajaan.
Mengakhiri ucapannya, beliau menekankan kepentingan kesihatan diri sebagai asas kepada sumbangan bermakna kepada masyarakat.
Oleh Adele Rissa