
SIFAT takbur atau sombong merupakan antara penyakit hati yang paling berbahaya dalam Islam. Ia bukan sahaja mencemarkan nilai peribadi seseorang, malah mampu memusnahkan amal kebaikan yang dibina sekian lama.
Malangnya, sifat ini sering kali hadir tanpa disedari dalam percakapan, tindak tanduk, bahkan dalam doa dan ibadah seseorang.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk mengenal pasti dan menjauhi sifat ini seawal mungkin.
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyatakan bahawa takabur terbahagi kepada dua: zahir (nyata dalam perbuatan) dan batin (tersembunyi dalam hati).
Sifat ini menjadikan seseorang enggan menerima kebenaran dan merendahkan orang lain, dua ciri utama yang dibenci oleh Allah SWT.
Lantaran demikian, Allah SWT secara jelas mengecam sifat takabur dalam surah Luqman ayat 18: “Dan janganlah engkau memalingkan muka daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”
Ayat ini menegaskan bahawa sifat takbur bertentangan dengan akhlak seorang Muslim. Ia bukan sahaja merosakkan hubungan manusia dengan manusia, malah memutuskan hubungan dengan Allah SWT.
Orang yang takabur tidak akan mendapat petunjuk Allah SWT, kerana hati mereka akan ditutup daripada menerima kebenaran walaupun ilmu dan nasihat telah disampaikan berkali-kali.
Takabur akan menghapuskan keikhlasan, menolak kebenaran dan memandang rendah orang lain, sedangkan semua itu bertentangan dengan nilai Islam yang murni.
Rasulullah SAW dengan tegas memberi amaran kepada umatnya mengenai bahaya sifat ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat seberat zarah sifat takabur.” (riwayat Muslim)
IBLIS SIMBOL TAKABUR YANG PERTAMA
Kisah takbur yang paling awal berlaku ialah ketika iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS kerana merasakan dirinya lebih baik dari ciptaan Allah SWT yang lainnya. Firman Allah SWT: “Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.” (surah al-Araf ayat 12)
Inilah asal mula kesombongan iblis kerana merasa diri lebih mulia daripada orang lain. Akibat takbur, iblis dilaknat dan dikeluarkan daripada syurga selama-lamanya.
Kisah ini menjadi peringatan buat manusia agar tidak menuruti jejak langkah iblis dalam menolak arahan dan meremehkan makhluk lain.
CARA MENJAUHI DAN MENGUBATI SIFAT TAKABUR
Menjauhi dan mengubati sifat ini memerlukan usaha yang ikhlas, berterusan dan disertai dengan muhasabah diri yang mendalam. Ia bukan sekadar meninggalkan satu perbuatan, tetapi satu proses penyucian hati dan pemahaman hakikat diri sebagai hamba kepada Allah SWT.
Langkah yang harus diambil adalah dengan menyedari dan memahami bahawa segala nikmat, kelebihan dan keistimewaan yang ada pada diri seseorang sama ada ilmu, rupa paras, harta dan keturunan mahupun pangkat semuanya datang daripada Allah SWT.
Apabila seseorang benar-benar yakin bahawa semua kelebihan itu hanyalah pinjaman, maka ia akan menimbulkan rasa kehambaan dan merendahkan diri.
Seseorang Muslim akan melihat dirinya bukan sebagai pemilik sebenar, tetapi sebagai pemegang amanah yang akan dipertanggungjawabkan. Ini adalah asas kepada sifat tawaduk yang menjadi penawar kepada takabur.
Menghayati sirah Rasulullah SAW juga menjadi salah satu cara untuk melembutkan hati. Walaupun baginda adalah manusia terbaik, ketua negara dan kekasih Allah SWT, baginda tetap hidup dalam kesederhanaan dan tidak pernah meninggikan diri.
Dengan meneladani akhlak Rasulullah SAW, kita dididik untuk menanggalkan rasa bangga diri, lalu menggantinya dengan sikap rendah hati dan kasih sayang terhadap sesama manusia.

Menemui Uwais Al-Qarni
ISLAM telah tersebar ke Yaman sejak zaman Rasulullah SAW semasa hayat baginda, Muaz bin Jabal dan Saidina Ali bin Abu Thalib pernah diutuskan ke Yaman sebagai qadi dan gabenor Rasulullah SAW di sana.
Uwais bin Amir Al Qarni telah memeluk Islam sejak Islam mula-mula tersebar ke Yaman. Ini bermakna beliau telah memeluk Islam semasa hayat Rasulullah SAW.
Namun begitu, beliau tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW. Beliau sebenarnya sangat teringin untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW.
Namun beliau terpaksa membatalkan keinginannya itu kerana beliau sedang menjaga ibunya.
Usair bin Jabir telah meriwayatkan seperti berikut :-
Dari Usair bin Jabir, beliau meriwayatkan bahawa, “Ketika Umar bin Khattab didatangi oleh rombongan-rombongan dari Yaman, beliau akan selalu bertanya kepada mereka, “Apakah Uwais bin Amir dalam rombongan kalian?”. Hingga pada suatu hari, Khalifah Umar bin Khattab bertemu dengan Uwais seraya bertanya; ‘Apakah kamu Uwais bin Amir? Uwais menjawab, “Ya benar. Aku adalah Uwais”. Khalifah Umar bertanya lagi, “Kamu berasal dari Murad dan kemudian dari Qaran?”. Uwais menjawab, “Ya, benar.” Kemudian Khalifah Umar bertanya lagi, “Apakah kamu pernah diserang penyakit kusta lalu sembuh kecuali tinggal sebesar mata wang dirham pada dirimu?” Uwais menjawab, “Ya benar”. Khalifah Umar bertanya lagi, “Apakah ibumu masih hidup?”. Uwais menjawab, “Ya, ibuku masih hidup”.
Khalifah Umar bin Khattab berkata, “Wahai Uwais, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Uwais bin Amir akan datang kepadamu bersama rombongan orang-orang Yaman yang berasal dari Murad kemudian dari Qaran. Dia pernah diserang penyakit kusta lalu sembuh kecuali tinggal sebesar wang dirham. Ibunya masih hidup dan dia selalu berbakti kepadanya. Kalau dia bersumpah atas nama Allah, maka akan dikabulkan sumpahnya itu. Maka jika kamu dapat memohon agar dia memohonkan keampunan untuk kalian, lakukanlah!”. Oleh kerana itu wahai Uwais, mohonkanlah keampunan untukku”. Lalu Uwais pun memohonkan keampunan untuk Umar bin Khattab. Setelah itu, Khalifah Umar bertanya kepada Uwais, “Kamu hendak pergi ke mana wahai Uwais?”. Uwais bin Amir menjawab, “Aku hendak pergi ke Kufah wahai Amirul Mukminin”. Khalifah Umar berkata lagi, “Apakah aku perlu menulis surat khusus kepada pejabat (pegawai) Kufah?” Uwais bin Amir menjawab, “Aku lebih senang berada bersama rakyat jelata wahai Amirul Mukminin”. (Riwayat Muslim)
Hanzalah Azman