LAWAS: Kerajaan Sarawak khususnya penduduk di Merapok yang bersempadan dengan Sabah menghargai kerjasama Kerajaan Sabah dalam memberi kelonggaran pergerakan di sempadan untuk penduduk tempatan di Merapok.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, pihaknya akan memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) berhubung kelonggaran untuk penduduk tempatan bergerak ke daerah sempadan di Sabah.
Ini adalah kerana kebanyakkan urusan membabitkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kekeluargaan antara penduduk di kawasan sempadan adalah penting.
Ramai pelajar di Merapok bersekolah di Pekan Sindumin, Sabah yang lebih hampir daripada bandar Lawas dan begitu juga dengan aspek kesihatan yang mana adalah lebih dekat penduduk Merapok ke klinik kesihatan Sindumin dan Sipitang yang hampir dengan mereka.
Oleh itu beliau yang ditemui media pada majlis penyerahan sumbangan ibadah korban di Kampung Paterikan Merapok baru-baru ini akan membawa perkara ini kepada pihak SDMC Sarawak dan Sabah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak turut menyeru penduduk di Merapok dan Kampung Paterikan amnya untuk mengusahakan tanah mereka yang subur.
Kawasan tanah yang subur di Merapok tidak seharusnya dibiarkan terbiar sebaliknya mesti diusahakan dengan menggunakan teknologi moden untuk mendapatkan hasil yang produktif dan berkualiti.
Oleh itu, ADUN Bukit Sari itu menasihatkan penduduk tempatan berhubung rapat dengan Jabatan Pertanian untuk membantu mereka mengusahakan tanah mereka dengan tanaman yang sesuai.
Penglibatan penduduk kampung dalam aktiviti pertanian ini penting bagi membekalkan keperluan untuk pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan hasil pertanian(CPPC) di Lawas tahun depan.
Justeru Jabatan Pertanian akan membantu penduduk mengenal pasti tanaman yang sesuai untuk dijual ke CPPC Lawas ini kelak.
Pada majlis di Kampung Paterikan itu, Awang Tengah mengumumkan peruntukan RTP berjumlah RM30 ribu untuk menaik taraf titian dan pondok wakaf kubur Paterikan.
Manakala pendawaian masjid Kampung Paterikan dan ruang pakir masjid juga akan usahakan sementara menunggu pembinaan masjid baru Kampung Paterikan yang masih dalam proses mengenal pasti lokasi baru yang sesuai.