
SIBU: Kerajaan Sarawak terus melaksanakan pendekatan proaktif dalam memperkasakan laluan pendidikan lepasan diploma menerusi inisiatif pemetaan pendidikan dan pemindahan kredit ke peringkat ijazah selaras usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi di negeri itu.
Inisiatif berkenaan dimuktamadkan menerusi Bengkel Pemetaan Pendidikan dan Pemindahan Kredit Bagi Pemegang Diploma yang dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di kampus UTS di sini hari ini.
Bengkel itu disertai wakil daripada 32 institusi pengajian tinggi yang menawarkan program diploma serta empat universiti utama di Sarawak iaitu UTS, Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia dan Kolej Universiti i-CATS.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata usaha itu penting bagi mewujudkan laluan yang lebih jelas kepada pemegang diploma untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah terutamanya dengan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) bermula tahun depan.
“Ia membuka peluang kepada pemegang diploma untuk menyambung pengajian dengan lebih tersusun dan terancang, selaras pelaksanaan FTES yang akan menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menutup bengkel berkenaan.
Dr Annuar berkata menerusi skim tersebut, pelajar yang layak boleh memindahkan kredit dan terus menyambung pengajian ke tahun kedua atau semester ketiga program ijazah tanpa perlu bermula dari tahun pertama.
“Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa pengajian malah mengurangkan beban kewangan serta mendorong lebih ramai pelajar menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut beliau antara cabaran utama sebelum ini ialah kekangan kewangan yang menyebabkan ramai graduan diploma tidak dapat menyambung pengajian atau terpaksa terus bekerja selepas tamat pengajian.
“Dengan adanya skim FTES, halangan tersebut dapat dikurangkan namun pelajar perlu diberi maklumat yang jelas mengenai laluan yang tersedia ini dan buat masa ini FTES hanya tertakluk kepada pelajar sepenuh masa sahaja.
“Jika graduan diploma sudah bekerja, mereka perlu berhenti kerja dan mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa untuk layak menerima pendidikan percuma ini,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa institusi seperti politeknik, kolej vokasional, Kolej Teknologi Sarawak (TCS) dan Kolej Laila Taib (KLT) agar memainkan peranan aktif dalam menyampaikan maklumat berkenaan kepada para pelajar.
Inisiatif itu juga selari dengan komitmen MEITD terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti selain menyokong agenda pembangunan bakat dan kesaksamaan pendidikan di Sarawak.– Bernama