
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa dalam sektor penerbangan apabila Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menerima kunjungan hormat delegasi industri penerbangan dari Belanda ke Malaysia yang diketuai Duta Besar Belanda, Jacques Werner di pejabatnya, semalam.
Kunjungan itu membuka ruang kepada perbincangan strategik berkenaan pembangunan masa depan sektor penerbangan di Sarawak, khususnya cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu.
Beliau dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan delegasi Belanda dan menyatakan penghargaan atas minat berterusan Belanda dalam pembangunan infrastruktur negeri ini, terutamanya dalam industri penerbangan.
Salah satu perkara utama yang disentuh dalam pertemuan itu ialah pengenalan kepada Perunding Lapangan Terbang Belanda (NACO).
NACO merupakan sebuah firma perunding lapangan terbang bertaraf antarabangsa dari Belanda yang telah dilantik sebagai perunding utama bagi Kajian Kebolehlaksanaan Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu.
Dalam pada itu, kajian tersebut sedang dijalankan dengan kerjasama perunding tempatan, Jurutera Jasa (Sarawak) Sdn Bhd dan dijadualkan siap dalam tempoh sembilan bulan.
“Pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu amat penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang Sarawak serta memperkukuh hubungan serantau.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan antarabangsa yang berpengalaman seperti NACO agar projek ini mengikut piawaian dan amalan terbaik dunia,” katanya.
Kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan meliputi pelbagai aspek termasuk penilaian tapak, analisis ruang udara, ramalan permintaan, penilaian impak alam sekitar dan sosial, analisis ekonomi serta kewangan, perancangan konsep awal dan pematuhan kepada peraturan.
Dengan pengalaman lebih 75 tahun dan penglibatan dalam lebih 700 projek lapangan terbang di seluruh dunia termasuk Lapangan Terbang Changi di Singapura, Incheon di Korea Selatan, Doha Hamad, Frankfurt dan Schiphol di Amsterdam, NACO dilihat sebagai rakan utama yang berupaya menyumbang secara signifikan kepada cita-cita penerbangan Sarawak.
Pertemuan itu turut membuka perbincangan ke arah kerjasama lebih luas termasuk dalam reka bentuk lapangan terbang, operasi dan amalan penerbangan mampan sejajar dengan aspirasi Sarawak menjadi hab pengangkutan dan logistik serantau melalui pembangunan aerotropolis.
Kunjungan ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat antara Sarawak dan Belanda serta menekankan pentingnya kolaborasi dan kepakaran antarabangsa dalam merealisasikan pembangunan sektor aeroangkasa dan industri berkaitan di negeri ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr Jerip Susil.