KUCHING: Jejambat di persimpangan Batu 4 Jalan Kuching-Serian yang sekian lama dinantikan masyarakat di sini akan dibuka kepada lalu lintas menjelang penghujung tahun ini.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang berkata, jejambat itu tertangguh setahun daripada tarikh asal yang sepatutnya siap kerana beberapa faktor terutamanya penularan pandemik Covid-19.
“Ini adalah berita baik kepada masyarakat sekitar kerana jejambat Batu 4 itu bakal beroperasi sepenuhnya penghujung tahun ini.
“Kita berharap pada November nanti, ia sudah boleh dilalui lalu lintas dan pengguna.
“Oleh yang demikian, saya berharap semua pihak bersabar dan menunggu sehingga projek ini siap sepenuhnya dan sudah tentu akan memberikan keselesaan kepada semua,” katanya sambil menganggarkan 80,000 kenderaan akan menggunakan jejambat itu setiap hari apabila siap kelak.
Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke tapak projek jejambat di persimpangan Batu 4, di sini, semalam.
Ujarnya, ini adalah berita gembira untuk semua penduduk di bandar raya Kuching dan sekali gus akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
“Pembinaan jejambat ini diberhentikan sementara sejak Mac lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain pekerja yang diupah oleh pihak kontraktor adalah warga asing.
“Walaupun pembinaan ini lewat daripada jadual asal, pihak kontraktor telah melaksanakan rancangan pemulihan dengan merancakkan aktiviti pembinaannya,” jelasnya.
Mengulas mengenai perkara berkaitan, Lo berkata tiga lagi jejambat yang terlibat sama dalam Pakej 2 Jalan Pan Borneo melibatkan kos keseluruhan RM2.1 bilion iaitu dari Lundu hingga ke Batu 10 Jalan Kuching-Serian dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun hadapan.
“Tiga jejambat itu adalah di persimpangan Batu 6, Batu 7 dan Batu 10, bermakna keseluruhannya ada empat jejambat di bawah Pakej 2 ini.
“Panjang setiap jejambat itu adalah antara 300 ke 400 meter,” ujarnya.
Untuk rekod, kerajaan memperuntuk RM316.96 juta untuk membina empat jejambat tersebut dengan RM69.96 juta digunakan untuk membina jejambat Batu 4, Batu 6 (RM97.97 juta), Batu 7 (RM78.83 juta) Batu 10 (RM74.19 juta).
Oleh Zarina Abdullah