
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melawat pusat tahanan sementara migran yang dikenali secara tidak rasmi sebagai ‘Alligator Alcatraz’ di Ochopee, Florida, AS.
LOS ANGELES: California, yang mengetuai gabungan beberapa negeri memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berhubung kebocoran maklumat peribadi rakyat, lapor Xinhua.
Pentadbiran Trump didakwa secara haram berkongsi data kesihatan penerima Medicaid dengan agensi penguatkuasaan imigresen.
Saman setebal 59 muka surat itu difailkan di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Utara California, dengan Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan Robert F Kennedy Jr, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem dan jabatan mereka dinamakan sebagai defendan.
Peguam Negara California Rob Bonta, mengetuai peguam negara dari 19 negeri lain dalam memfailkan tindakan undang-undang itu.
Negeri terbabit ialah Arizona, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Massachusetts, Maine, Maryland, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, Oregon, Rhode Island, Vermont dan Washington.
Plaintif mencabar tindakan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan AS (HHS) yang memberikan ‘akses tanpa had’ rekod kesihatan individu kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), yang menaungi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE).
Plaintif mendakwa keputusan itu melanggar undang-undang kerahsiaan peribadi dan amalan lama yang memisahkan maklumat Medicaid daripada pihak penguatkuasaan.
Mereka menegaskan yang tindakan haram pentadbiran Trump mencetuskan ketakutan dan kekeliruan dalam kalangan komuniti, yang boleh menyebabkan bukan warganegara dan ahli keluarga mereka menarik diri atau enggan mendaftar untuk Medicaid kecemasan.
Keadaan ini boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan kesihatan penting dan membawa kepada akibat kesihatan yang boleh membawa maut.
“Pentadbiran Trump mencabuli perlindungan kerahsiaan peribadi yang telah lama wujud dengan keputusan untuk secara haram berkongsi data kesihatan peribadi yang sensitif dengan ICE.
Tindakan ini mewujudkan suasana ketakutan yang akan menghalang orang ramai daripada mendapatkan rawatan perubatan kecemasan yang penting,” kata Bonta dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Beliau turut menegaskan bahawa saman itu bertujuan memastikan data Medicaid tidak digunakan untuk tujuan penguatkuasaan imigresen.
“Saya kecewa dengan serangan terbaru Presiden dalam kempen antimigran ini. Kami membawa isu ini ke mahkamah untuk menghalang perkongsian data Medicaid yang lebih luas pada masa depan,” katanya.
Menurut Jabatan Kehakiman California, Medicaid adalah sumber insurans kesihatan penting untuk individu berpendapatan rendah dan golongan kurang mendapat layanan perkhidmatan.
Sehingga Januari 2025, seramai 78.4 juta orang mendaftar dalam program Medicaid dan Program Insurans Kesihatan Kanak-Kanak di seluruh AS.
Program Medicaid membenarkan setiap negeri membangunkan dan mentadbir pelan kesihatan masing-masing.
Di California, negeri paling padat di AS, program Medi-Cal, versi Medicaid negeri itu, menyediakan perlindungan kesihatan untuk seorang daripada tiga penduduk, termasuk lebih dua juta bukan warganegara.
Menurut dokumen saman, Akta Medicaid diluluskan oleh Kongres pada 1965 serta undang-undang Persekutuan lain mentakrifkan data kesihatan peribadi dikumpul melalui program itu sebagai sulit dan hanya boleh dikongsi dalam keadaan tertentu demi kesihatan awam atau integriti program Medicaid.
Pemindahan data besar-besaran antara HHS dan DHS adalah menyalahi undang-undang.
Dokumen itu turut menyatakan yang kerajaan Persekutuan AS dilaporkan bercadang untuk mewujudkan pangkalan data besar-besaran selepas mengumpul data daripada HHS bagi digunakan untuk ‘pengusiran besar-besaran’ dan tindakan penguatkuasaan imigresen berskala besar yang lain. – Bernama.