
KETUA Pegawai Eksekutif Carsome Academy Teoh Jiun Ee ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan rakan sebaya masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan ada yang merancang untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi, Muhammad Hafuza Aris mengambil keputusan berbeza.
Pada usia 18 tahun, dia memilih menyertai sebuah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang automotif yang ditawarkan di akademi latihan kemahiran Carsome Academy, dengan harapan memperoleh pekerjaan tetap dan membantu keluarganya secepat mungkin.
“Saya memang minat automotif, jadi bila tahu ada peluang belajar yang hanya mengambil masa sembilan bulan dan kelulusan minimum (hanya Pentaksiran Tingkatan Tiga) saya tidak mahu buang masa dan terus mohon.


PELAJAR-pelajar ketika sesi pembelajaran di Carsome Academy, Kota Damansara. Foto BERNAMA
“Saya (cuma) fikir nak cepat kerja untuk menjaga dan menyara keluarga, tapi sebelum itu saya kena ada ilmu dahulu,” katanya kepada Bernama.
Kecenderungan anak kelahiran Negeri Sembilan itu kepada kerja berasaskan kemahiran tangan dipupuk sejak kecil, antaranya dipengaruhi oleh bapanya yang mengusahakan bengkel kecil di rumah.
Menyifatkan kemahiran teknikal bukan setakat membuka peluang pekerjaan, anak ketiga daripada lima beradik itu berkata latihan yang dijalaninya turut membina disiplin, jati diri dan sikap bertanggungjawab selain meningkatkan daya saing.
Kini, pada usia 22 tahun, Muhammad Hafuza bekerja sebagai pemeriksa kenderaan di sebuah platform jual beli kenderaan terpakai dan dia bersyukur dengan pilihan yang dibuatnya empat tahun lalu itu.
Senada, rakan sekursusnya di akademi itu Muhammad Alif Najmi Amran, 23, yang turut bekerja sebagai pemeriksa kenderaan, melihat akademi kemahiran sebagai platform alternatif buat golongan muda yang berminat dalam bidang teknikal, lebih-lebih lagi pelatih turut diberikan elaun serta jaminan pekerjaan sebaik tamat program.
“Di akademi, kami diajar cara periksa kotak gear, sistem lampu, struktur badan dan kenal pasti kerosakan pada kenderaan. Semua ini penting untuk tentukan nilai pasaran sebenar kereta,” katanya, menjelaskan tugasnya melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas kenderaan yang ingin dijual pelanggan, termasuk mengenal pasti kesan kemalangan serta keadaan enjin.

“Saya dulu kerja dalam bidang makanan dan minuman (F&B), pendapatan cukup makan. Tapi selepas kerja dalam bidang automotif, saya boleh sara diri dan bantu keluarga. Sekurang-kurangnya, saya nampak haluan hidup,” katanya yang turut mengambil peluang itu membaiki kemahiran komunikasi sebagai persediaan memenuhi hasrat menjadi perunding jualan pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy Teoh Jiun Ee berkata penubuhan pusat latihan TVET tersebut adalah sebahagian daripada usaha syarikat memperkukuh industri automotif serta menyediakan latihan kemahiran bertauliah kepada belia, dengan kerjasama dan penyelarasan Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“Kami dapati ramai pekerja automotif memiliki kemahiran namun kurang mendapat pengiktirafan rasmi. Ini mendorong kami menyediakan laluan bagi pengiktirafan dan pensijilan kemahiran kepada pekerja dan pelatih,” katanya yang juga mahu menyediakan peluang pekerjaan lebih baik kepada belia yang kurang berminat dalam bidang akademik.
Inisiatif yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 Pembaikan Kenderaan Ringan itu turut menyasarkan golongan berpendapatan rendah, khususnya B40, menerusi kerjasama dengan badan seperti Yayasan Hasanah, Yayasan MBI dan Yayasan Raja Muda Selangor yang menyediakan tajaan seperti biasiswa dan elaun latihan kepada pelatih yang layak.– Bernama