
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka sedikit rendah pada Rabu namun, meningkat semula tidak lama selepas itu, disokong oleh pembelian berterusan di kaunter wajaran tinggi terpilih susulan keyakinan terhadap prospek ekonomi domestik, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.48 mata atau 0.23 peratus kepada 1,545.01 daripada 1,541.53 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.80 mata lebih rendah kepada 1,539.73.
Pasaran secara keseluruhan adalah positif, dengan 187 kaunter untung mengatasi 139 kaunter rugi. Sebanyak 299 kaunter tidak berubah, manakala 1,766 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 168.64 juta saham bernilai RM133.79 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd berasaskan petunjuk lemah daripada Wall Street dalam tempoh semalaman, bursa tempatan dijangka dibuka dalam keadaan tidak banyak berubah.
“Bagaimanapun, kami mengekalkan pendirian positif terhadap saham berkaitan pusat data dan tenaga boleh baharu (TBB) susulan perjanjian terkini yang dimeterai oleh Gamuda dengan pembangun TBB.
“Selain itu, dengan perbelanjaan modal Tenaga Nasional yang berterusan memasuki separuh kedua 2025, kami yakin perkara itu akan memberi manfaat kepada syarikat pengkhususan infrastruktur tenaga dan pembuat kabel,” jelasnya dalam nota penyelidikan.
Malacca Securities memaklumkan sektor pembinaan dijangka diniagakan dalam kedudukan yang lebih kukuh.
Dagangan itu akan disokong oleh pengebilan projek yang lebih tinggi serta jangkaan pengumuman jajaran akhir bagi sistem Autonomous Rail Rapid Transit (ART) di Johor, yang dianggarkan bernilai antara RM6 bilion hingga RM7 bilion, tambahnya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 5.0 sen kepada RM9.77, Public Bank menambah 2.0 sen kepada RM4.28, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing menambah 1.0 sen kepada RM6.76 dan RM6.81, manakala Tenaga Nasional kekal pada RM14.90.
Bagi saham aktif, TWL, dan ASM Automation yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, masing-masing kekal mendatar pada 4.0 sen dan 17 sen, NEXG naik setengah sen kepada 38 sen, manakala Gamuda meningkat 5.0 sen kepada RM5.02.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 20.76 mata kepada 11,545.35, Indeks FBMT 100 naik 19.85 mata kepada 11,323.67, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 18.12 mata kepada 11,579.53.
Indeks FBM 70 naik 3.96 mata kepada 16,561.33, manakala Indeks FBM ACE susut 4.19 mata kepada 4,487.82.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 37.15 mata kepada 17,641.79, Indeks Perladangan menambah 11.28 mata kepada 7,413.44, dan Indeks Tenaga naik 2.75 mata kepada 744.29.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula susut 0.32 mata kepada 153.98.– Bernama