

PEMBACAAN sebegitu banyak cerpen akan mendorong kepada pencarian makna yang mendalam dari pelbagai sudut atau ‘dimensi’. Dalam drama bersiri Alice in Borderland misalnya, setiap watak-wataknya berdepan dalam keadaan hidup mati yang begitu mendebarkan melalui analogi siri permainan yang berteknologi tinggi dan begitu membinasakan.
Permainan-permainan ini disuguhkan peraturan-peraturan yang sistematik lantas memberi makna serta alegori yang ambiguitinya mendorong tafsiran pelbagai. Hal yang sama juga berlaku dalam filem seram distopia, The Platform yang menyajikan ambiguiti makna dalam persembahan hierarki kekuasaan yang ditonjolkan melalui platform yang sarat makanan serta sikap para banduan mendepaninya.
Ambiguiti ini amat penting untuk memberi garisan kabur antara apa-apa yang pengarang tahu dengan apa-apa yang pengarang tidak tahu. Sewajarnya, pengarang harus terkedepan berbanding pembacanya dari segi pengetahuan dan juga pengalaman supaya dia dapat menyajikan sesuatu yang baharu kepada pembaca. Apakah itu ambiguiti?
Sebiji epal ditampal pada dinding kosong dan dilabelkan ‘kesunyian’ di sebuah galeri seni. Barangkali ada suatu catatan nota kecil di penjuru dinding yang menjelaskan serba sedikit konteks yang cuba disampaikan oleh epal dan dinding itu.
Di sinilah mustahaknya catatan nota kecil itu. Ia menyempitkan ruang tafsiran supaya maksud karya seni tidak terlalu semberono atau tidak terlalu jauh daripada yang diharapkan oleh pengkaryanya.
Terdapat satu garis kecil yang memisahkan ambiguiti dengan non-context yang menjurus kepada sebuah karya nirmakna yang tidak akan menyentuh nubari penyaksi.
Makanya, untuk memahami kaedah penceritaan yang menguasai garapan ambiguiti agar tidak terjatuh ke dalam non-context, menuntut pengalaman dan penelitian mendalam seseorang pengarang dalam memahami apa-apa yang hendak dituliskan selaku cerpen.
Cerpen “Terkurung dalam Dunia Empat Penjuru” menyajikan padanan non-reality dengan realiti demi menyampaikan maksud penceritaannya. Permulaannya menyentuh gambaran dunia empat penjuru yang serba putih tanpa pintu – suatu keanehan yang mendorong rasa ingin tahu pembaca untuk menyelami lebih lanjut maksud yang cuba disampaikan pengarang.
Demi menjadikan dunia rekaan itu lebih realistik, pengarang cuba merincikan emosi dan pergerakan watak dalam mendepani ciri-ciri dunia tersebut, suatu usaha untuk mengukuhkan lagi kesahihan dunia empat penjuru itu.
“Lantas, kau bangun dari katil dan melangkah ke salah satu dinding kosong untuk mengamati lebih dekat keadaan ruang tanpa pintu ini. Dinding putih itu kosong persis otak kau yang tidak punya idea tentang kewujudan ruang empat penjuru ini.”
Ketika cuba memahami bagaimana sifat dunia empat penjuru ini, jika ditelaah secara logik, bagaimanakah sifat dunia empat penjuru itu sebenarnya? Mengapa tidak digunakan perkataan ‘dinding’ tetapi ‘penjuru’?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “penjuru” didefinisikan selaku pojok, sudut: ~ sudut tepat (Mat) penjuru yang yang luasnya 90°. Jika diteliti definisi menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, ia membawa maksud tempat bertemunya dua garisan (permukaan, sempadan); kawasan di antara dua garisan dan lain-lain yang bertemu; sudut. Empat ~ alam utara, selatan, timur dan barat.
Di sinilah terdapat sedikit pertanyaan mengenai kecenderungan pengarang menggunakan perkataan ‘penjuru’ dan bukannya ‘dinding’. Jelas sekali, ruang yang digambarkan pengarang itu, bukanlah memiliki empat penjuru, tetapi lapan, dengan mengambil kira sudut tepat yang membentuk siling putih.
Oleh sebab itu, pengarang harus lebih berhati-hati dalam pemilihan kata terutamanya kata-kata yang membentuk judul karya yang semestinya akan mewakili keseluruhan penceritaan.
Menggunakan sudut pandang kedua barangkali menghadirkan kelainan, tetapi pengarang harus ingat, kelainan semata-mata tanpa matlamat jelas penggunaannya dalam membawa penceritaan akan membuatkan ceritanya sekadar janggal tanpa menghadirkan sebarang impak pada pembaca.
Pengarang harus bertanya pada diri, mengapa hendak digunakan sudut pandang kedua tersebut? Adakah kerana ia sebuah cerita yang diceritakan oleh watak yang melihat dirinya selaku orang asing dan kenapa harus diceritakan oleh watak sedemikian rupa?
Semestinya saya tidak punya jawapannya. Pengarang harus bertanya pada diri agar dapat mengenal pasti kewajaran menggunakan sudut pandang kedua tersebut. Dan bertitik tolak dari situ, pengarang mungkin menemukan suatu gagasan baharu untuk meny
ampaikan penceritaannya dengan lebih berkesan.
Namun, di sinilah ambiguiti menghadirkan kewajaran pada sudut pandang kedua ini. Ibarat seorang petanda yang melorongkan pesalah ke kamar hukuman mati, narator memacu gerak watak utama agar merentasi paparan-paparan memori silam, dipertontonkan dengan babak demi babak yang menyentuh hati sebelum amarah dari waktu silam itu menerpa.
Apa yang menarik mengenai cerpen ini ialah tiga serangkai babak imbas kembali, yang digunakan pengarang untuk menunjukkan interaksi memori silam selaku sesuatu yang akan menuntun watak utama agar ‘berpulang’ ke suatu keadaan mendamaikan. Suatu proses menginsafkan watak utama yang diungkapkan secara halus dan pintar. Ia bermula dengan babak berikut:
Tanpa disangka, kanak-kanak itu berenang dengan laju sebelum mendaki bebatuan untuk menghampiri kau. Gerakannya pantas, tidak seperti tadi. Dengan sekelip mata sahaja dia sudah berada betul-betul di hadapan dinding hologram yang memisahkan dunianya dengan dunia kau. Dengan pantas tangan itu menghempas air ke arah kau di sebalik hologram.
Tindak balas refleks membuatkan kau terundur dan memejamkan mata untuk beberapa detik. Perlahan-lahan kau membuka mata. Suasana yang tadinya memaparkan air terjun nan damai, kini bertukar menjadi sebuah bilik berdinding biru laut.
Melalui babak ini, tindakan budak itu, ‘menghempas air’ ke arah watak utama (sekali lagi, saya berasa perkataan ‘menghempas’ harus dirincikan dan digantikan dengan perkataan yang lebih sesuai), sarat ambiguiti. Mengapa harus air itu ditepuk atau ditampar begitu?
Apakah emosi yang mendorongnya berbuat begitu? Adakah kemunculan watak utama yang bermonolog itu menakutkannya? Atau adakah ia sekadar reaksi seorang kanak-kanak polos apabila mendepani sesuatu yang aneh?
Lihatlah, begitu banyak persoalan boleh dibangkitkan apabila mahu membahaskan tindakan budak itu menepuk muka air hingga membuatkan watak utama ‘terlontar’ ke memorinya yang lain. Namun, setiap persoalan-persoalan ini mula hilang relevannya apabila babak berikut menyusul:
“Remaja lelaki itu kemudian bangkit dari katil. Sebiji bola petanque berada dalam genggamannya. Dia berdiri menghadap kau dengan pandangan yang menyala-nyala. Seolah-olah mahu menghamburkan amarah yang sudah lama terpendam. Tidak semena-mena, remaja lelaki tersebut membaling bola petanque ke arah kau yang masih pegun di sebalik dinding hologram.”
Berdasarkan babak ini, jelas, pengarang menggunakan babak zaman kanak-kanaknya selaku refleksi diri watak utama, mengingatkan bagaimanakah keadaannya ketika bahagia menyulami rasa tanpa dibebani segala kemelut rasa dan fikiran.
Kanak-kanak sering ditanggapi selaku simbol kepolosan dan kebebasan daripada permasalahan orang dewasa, atau dalam konteks lainnya – bentuk manusia termurni sebelum dunia mewarnai hakikat ke atas hidup seseorang manusia tersebut.
Dapat dilihat bagaimana pengarang memacu ataupun melorongkan tafsiran ke atas tindakan kanak-kanak tadi menepuk permukaan air ke suatu jawapan yang ringkas dan tidak terlalu rumit, yakni selaku alat menggerakkan plot.
Pengarang cukup memahami gejolak rasa remaja yang sering memberontak dan dikuasai rasa tidak puas hati ke atas setiap yang berlaku ke atasnya dan juga dunia.
Ungkapan “pandangan yang menyala-nyala” dan tindakan versi remaja watak utama itu membaling bola petanque ke arah hologram watak utama menyerlahkan kefahaman pengarang ke atas psikologi remaja dan transisi perubahan seorang anak yang meremaja.
Lalu kemarahan ini dineutralkan pula dengan babak selanjutnya, imbasan masa lalu yang memaparkan reaksi ibu:
”Tiba-tiba wanita itu mengalihkan pandangan tepat ke dalam mata kau. Pandangan yang meresap dalam sanubari, menusuk jiwa — seperti meraih simpati agar kau dapat menyelami hati seorang ibu. Semakin lama, matanya semakin sayu. Tidak berkedip, sehingga kau tidak mampu menahan gejolak hati sebelum dunia kembali berputar.”
Di sini, dunia empat penjuru yang digunakan selaku alat oleh pengarang untuk menginsafkan kembali watak utama yang terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat menunggang motosikal secara berbahaya agak berkesan dan begitu nyata sifat serta tujuannya.
Ambiguiti dirungkai di penghujung cerita yang barangkalinya suatu penamat yang boleh dijangka berdasarkan pembinaan naratif yang menaik tanpa sedikit pulasan ataupun percik falsafah hidup yang menyegarkan.
Secara ringkasnya, watak utama mengalami kemalangan jalan raya setelah bertelagah dengan ibu bapanya yang amat tidak menyukai aktivitinya menunggang motosikal secara berbahaya.
Dia berada dalam keadaan koma yang melorongkannya ke dalam perangkap dunia empat penjuru. Dan dunia empat penjuru itu pula membawanya menerokai ‘kekotak-kekotak’ memori sambil dipacu narator yang barangkali juga dirinya sendiri (minda separa sedarnya atau alter egonya) agar bermuhasabah diri.
Dan dia akhirnya diberi kesempatan untuk membetulkan segalanya dengan terjaganya daripada keadaan koma tersebut.
Terlalu klise dan simplistik!
Lihat, saya selaku pembaca tidak berhasil menemukan keenakan cerpen ini kerana ambiguitinya dileraikan sebegitu mudah. Barangkali, dunia empat penjuru itu harus lebih memerangkap dan mendukacitakan supaya kesan emosi lebih berimpak.
Pengarang boleh menjadikan memori-memori itu selaku tampalan ribuan foto pada dinding yang harus dipadankan, diasingkan atau dilupuskan berdasarkan pilihan diri. Nafsu, pengaruh rakan sebaya yang negatif dan juga inti pati keseronokan merempit harus dilagakan dengan keinginan untuk kembali menjadi seorang anak yang patuh pada ibu bapa.
Nyala rasa watak harus dipertontonkan bahangnya, kesalnya harus ditonjolkan rasa hinanya, kecintaan pada ibu bapa harus diwarnakan pekat ketulusannya. Dalam erti kata lain, keanehan yang cuba disampaikan pengarang demi menjadi ceritanya unik telah memadamkan potensi cerpen ini dengan pembinaan sederhana dunia empat penjuru, yang barangkalinya patut diganti dengan pembinaan nyala rasa yang saya maksudkan di atas.
Makanya, saya sudah memberi dua keadaan yang teramat sukar untuk dipadankan dalam sebuah cerpen yang naratifnya terbatas. Bagaimana mahu mengekalkan ambiguiti yang memakaikan ‘kecerdikan’ pengarang secara halus dan dalam masa yang sama, menyulamkan kesan emosi yang berimpak?
Saya percaya, ambiguiti, satira mahupun alegori tidak semestinya harus disampaikan melalui pembinaan dunia yang serba aneh dan begitu fantasi. Ibarat boneka Matryoshka, ia boleh digarap seperti punya selapis makna dan menghiburkan pembaca bertahap rendah tetapi apabila ditelaah pembaca yang lebih tajam pemerhatiannya, kebijakan pengarang akan dapat dihidu pantas sekali gus memberi kefahaman bahawa ada lapis-lapis sindiran ataupun makna yang tersirat di sebalik tindakan watak, keadaan dan juga latar yang digunakan untuk menggarap naratif.
Dalam cerpen yang bermutu, pengarang harus memberi pertanyaan kepada pembaca untuk menjawabnya sendiri. Namun, petunjuk ke atas pertanyaan itu harus ada dalam naratif yang diungkapkan secara halus dan bersahaja.
Pengarang yang bijak akan mendorong pembaca untuk memadankan kepercayaan peribadi masing-masing pada inti pati penceritaan sekali gus menemukan relevan yang luas cakupannya dalam kalangan pemikiran nan pelbagai.
Pengarang ini, Mohd Firdaus Dahlan, saya percaya, memiliki pengalaman mengarang dan sudah mampu menulis dengan baik. Bahkan, naratif yang disuguhkan ini bolehlah dikatakan sebuah cerpen yang baik kerana ia punya keseluruhan ciri-ciri cerpen yang punya watak-watak yang hidup, gerak plot yang jelas dan peleraian konflik dan tidak kurang juga mesej positif yang tidak disampaikan secara berkhutbah.
Penggunaan tiga serangkai babak imbas kembali yang punya elemen “tunjuk tanpa memberitahu”, ambiguiti anak kecil, pengungkapan gejolak jiwa remaja dan garapan mekanisme kasih sayang tidak terbanding ibu bapa terhadap anak itu sendiri menampakkan kefahaman pengarang ke atas psikologi manusia, secara permukaannya.
Justeru, untuk meneroka lebih lanjut ke tahap seterusnya adalah seperti yang perkatakan di atas tadi, yakni penguasaan seni ambiguiti, ketelitian memilih perkataan yang betul-betul membawa maksudnya serta penyulaman nyala rasa dan emosi dalam pengkaryaan.
Di samping itu, pengarang sudah boleh mendalami seni perenungan dalam pembinaan makna yang berlapis. Pembacaan buku-buku falsafah barangkali membantu untuk pengarang memahami permasalahan-permasalahan rumit yang menghantui manusia sekian lama yang boleh digandingkan dengan penguasaan pengarang yang agak baik dalam pemahaman psikologi manusia itu tadi.
Barangkali, pembacaan karya-karya sarat alegori yang ditunjangi keinginan pengarang untuk mencerakinkan makna-makna yang tersirat di sebalik alegori akan memberi suatu dimensi penceritaan yang baharu untuk pengarang terokai.
Pokok pangkalnya, pengarang punya potensi untuk menggarap karya yang lebih baik pada masa akan datang. Kematangan dan konsistensi mengarang akan mendorong pengarang ke jalan penciptaan karya yang lebih mencabar nuansa fikiran.
Oleh Lokman Hakim