
AKHIR-akhir ini, suasana politik di Sarawak menjadi semakin hangat. Spekulasi tersebar luas, ada yang menyatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bakal meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) untuk menambah 15 kerusi Parlimen dan 17 kerusi DUN dalam satu sidang luar biasa yang dijadualkan berlangsung pada 7 Julai ni.

Di lorong-lorong pejabat kerajaan, di kafe politik dan di ruang maya media sosial, persoalan ini menjadi buah mulut. Benarkah? Atau hanya sekadar suara angin dari gunung?
Yang menambah bara pada spekulasi ini adalah isu besar yang kini bergema dari Sabah dan Sarawak ke Putrajaya, iaitu pindaan kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Ini bukan isu kecil. Ia dikaitkan dengan usaha menyentuh roh Perlembagaan Persekutuan sendiri, khususnya Perkara 160, dalam usaha untuk memasukkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Cobbold, dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Jika ini berlaku, ia bukan sekadar pindaan angka. Ia akan jadi perubahan sejarah penting untuk landskap politik dan masa depan Sabah dan Sarawak.
Rundingan awal
Ada cakap-cakap bahawa rundingan sudah berjalan, bukan sekadar di meja kementerian, tetapi juga dalam bilik-bilik strategik agensi persekutuan.
Namun, segala-galanya masih di awan-awangan. Tidak ada pengesahan rasmi. Yang diketahui, perkara ini merupakan antara agenda perbincangan oleh Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) dan jawatankuasa tertinggi Majlis MA63 yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Tiga suara besar Borneo dan Semenanjung bersatu di meja rundingan.
Sarawak bukan asing dengan pindaan kerusi. Sejarahnya menunjukkan bahawa negeri ini sudah melakukan beberapa peningkatan bilangan kerusi DUN sejak 1985, kemudian 1995, 2005 dan 2015.
Kini jumlahnya mencecah 82 kerusi. Evolusi politik ini bukan semata-mata statistik. Ia adalah cerminan dinamika geografi, kepadatan penduduk, dan cita rasa demokrasi rakyat negeri ini.
Namun, perlu diingat, telah diumumkan sebelum ini bahawa sebarang pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak hanya akan dimuktamadkan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kali terakhir persempadanan semula kerusi Parlimen berlaku adalah pada 2006. Pada ketika ini, Sabah dan Sarawak masing-masing memiliki 25 dan 31 kerusi Parlimen, jumlah keseluruhan 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Masih jauh dari satu pertiga.
Sesuai realiti semasa
Yang berlaku kini hanyalah lanjutan daripada proses yang sememangnya perlu. Semakan semula persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah rutin, tetapi penting.
Ia bertujuan untuk menyesuaikan kawasan pilihan raya dengan realiti semasa. Dalam konteks Sarawak, pembangunan dan pertambahan penduduk berlaku dengan pantas.
Ada kawasan terlalu padat seperti di DUN Pending dan Batu Lintang, iaitu sekitar 30,000 pengundi setiap satu . Maka jika berterusan maka suara pengundi di sana seolah-olah dikecilkan.
Ada pula kawasan yang kecil tetapi diwakili sama rata. Maka, cadangan penambahan kerusi adalah logik. Ia bukan soal politik semata-mata. Ia soal keadilan representasi.
Namun, ada dimensi waktu yang mendesak. Undang-undang menetapkan bahawa semakan semula hanya boleh dilakukan selepas tempoh tertentu, lazimnya dalam tempoh lapan tahun.
Maka, langkah untuk mengadakan sidang khas DUN dilihat sebagai usaha mempercepatkan proses sebelum terlepas tempoh sah yang diperuntukkan. Hal ini menjelaskan mengapa sidang itu hanya difokuskan pada satu perkara – RUU persempadanan.
Kesan pembangunan
Dari sudut pembangunan pula, pertumbuhan pesat Sarawak menjadi justifikasi kukuh bagi langkah ini. Kawasan yang sebelum ini bersifat luar bandar kini telah berkembang menjadi pusat bandar dan perindustrian.
Wakil rakyat sedia ada mungkin tidak lagi mampu menampung keperluan kawasan yang berkembang. Penambahan kerusi akan membolehkan dasar kerajaan dilaksanakan dengan lebih efisien, sambil memperluas saluran komunikasi antara rakyat dan wakil mereka.
Dalam konteks MA63, penambahan kerusi ini juga boleh dianggap sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan suara Sarawak di Parlimen, menuntut semula hak-hak yang lama dibincangkan tetapi belum ditunaikan.
Penafian
Namun, saat perhatian tertumpu pada sidang khas itu, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Asfia Awang Nassar, tampil memberikan kenyataan tegas.
Beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri akan membentangkan rang undang-undang untuk menambah kerusi dalam sidang khas 7 Julai nanti. Kenyataan ini ibarat siren kepada para pengulas politik dan pemerhati media yang selama ini sibuk berteka-teki.
Menurut Asfia, penambahan kerusi bukan kuasa DUN, tetapi kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SPR bertanggungjawab penuh dalam menentukan sempadan kawasan pilihan raya dan jumlah kerusi, berdasarkan analisis demografi dan geografi yang teliti.
DUN tidak mencipta kawasan pilihan raya baharu. Ia hanya boleh menyokong atau membincangkan. Ini adalah prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu, perbincangan dalam DUN tidaklah sia-sia. Ia boleh menjadi isyarat politik bahawa kerajaan negeri menyokong prinsip penambahan kerusi dan bersedia untuk bekerjasama dalam pelaksanaan teknikal oleh SPR.
Jalan ke depan
Pendirian DUN Sarawak umumnya menyokong usaha untuk menambah kerusi. Ini selari dengan desakan agar Sabah dan Sarawak diberikan satu pertiga kerusi Parlimen, sebagaimana yang termaktub dalam MA63.
Ia bukan sekadar tuntutan politik, tetapi simbol kedudukan setara dalam Persekutuan Malaysia. Tetapi seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, agihan semula kerusi hanya boleh dilaksanakan selepas PRU akan datang.
Ini menunjukkan bahawa proses ini bukan sahaja teknikal, tetapi juga strategik dalam takwim politik negara.
Asfia juga menyebut bahawa beliau belum menerima sebarang RUU rasmi dari kerajaan negeri. Sekiranya beliau menerimanya, beliau akan memanggil sidang media dan memberi penjelasan kepada rakyat. Buat masa ini, semuanya masih di peringkat spekulasi dan rundingan tertutup.
Yang pasti, episod ini membuka semula perbincangan besar tentang pembahagian kuasa antara negeri dan persekutuan, tentang bagaimana sistem demokrasi Malaysia berfungsi di bawah perlembagaan, dan tentang bagaimana suara rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak, boleh diangkat dengan lebih adil.
Ia juga mengingatkan kita bahawa demokrasi bukan sekadar soal pilihan raya lima tahun sekali, tetapi juga soal struktur kuasa dan hak perwakilan yang mesti diteliti dan diperbaiki secara berterusan.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di JabatanSosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).