Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Episod hitam dalam sejarah Sarawak
  • KOLUMNIS

Episod hitam dalam sejarah Sarawak

Utusan Sarawak 9 hours ago

PENJAJAHAN British ke atas Sarawak pada 1 Julai 1946 adalah salah satu episod gelap dalam sejarah Sarawak. 

Dalam dunia yang mengalami perubahan selepas Perang Dunia Kedua dengan kemerdekaan beberapa tanah jajahan Britsih seperti India dan Burma (Myammar), Sarawak pula seolah-olah mengganti tempat dua jajahan ini menjadi sebuah koloni.

Apakah sebabnya British mahukan Sarawak? Ini satu persoalan yang sering saya utarakan sebelum ini. Menurut Raja Vyner Brooke, penyerahan Sarawak kepada British adalah berdasarkan hakikat bahawa kemusnahan berterusan akibat perang telah menyebabkan kerajaannya tidak lagi mampu memulihkan negeri tersebut.

Justeru, Sarawak perlu diserahkan kepada kuasa British yang mempunyai keupayaan dan sumber untuk membangunkan semula Sarawak.

Hakikatnya, jika dibandingkan dengan Sarawak, Britain atau United Kingdom turut berdepan dengan krisis ekonomi yang lebih parah selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

DEMONSTRASI Sarawak terhadap British dalam gerakan antipenyerahan Sarawak.

Hutang mereka bertambah, banyak kemusnahan dalam aspek infrastruktur dan ekonomi yang teruk. Kerajaan British terpaksa membuat pinjaman dari Amerika Syarikat dan Kanada untuk memulih dan membangunkan semula ekonomi mereka. 

Dengan kata lain, United Kingdom berada di ambang kebangkrapan.

Selepas itu, United Kingdom yang jarak secara kasar sejauh 11,270 kilometer dari Sarawak pula diberi tugas untuk memulihkan ekonomi dan pembangunan di Sarawak.

Ini satu conundrum yang pelik dalam percaturan kuasa dunia ketika itu. Alasan yang diberi untuk membangunkan Sarawak, yang boleh kita anggap baik tetapi latar belakang negara tersebut menunjukkan logiknya tidak dapat diterima.

Pentadbiran

Sebelum ini saya pernah menyatakan bahawa hasrat British untuk menjajah Sarawak berputih sejak pemerintahan Rajah Vyner Brooke.

Namun hasrat ini tidak kesampaian kerana terdapat tentangan daripada keluarga Brooke sendiri. British tetap dengan pendiriannya untuk menjadikan Sarawak sebagai koloni mereka dan perancangan terus dibuat semasa Perang Dunia Kedua.

Salah satu alasan British untuk mengambil Sarawak adalah untuk menggantikan sistem pemerintahan yang ketinggalan zaman diamalkan oleh kerajaan Brooke. 

Mereka mahu agar pentadbiran Sarawak itu diubah dan dimodenkan sejajar dengan perkembangan semasa.

Niat British ini satu lagi boleh dianggap perkara yang baik tetapi apabila mereka memerintah, kuasa koloni itu terlalu besar sehingga menghalang perkembangan anak-anak tempatan untuk menjawat jawatan dalam kerajaan. 

Hal ini ditegur oleh (Tun) Abdul Rahman Ya’akub pada Februari 1963 sebelum pembentukan Malaysia. Beliau yang ketika itu memegang jawatan Presiden Kesatuan Pegawai-pegawai Bangsa Asia menyatakan hanya seorang sahaja orang Sarawak memegang jawatan tertinggi kerajaan sejak tiga tahun lepas.

Beliau menambah bahawa 29 jawatan tertinggi (Division Satu) seperti ketua-ketua jawatan disandang oleh orang Barat iaitu pegawai dagang.

Beliau juga melahirkan rasa kecewanya apabila menyatakan bahawa kekosongan jawatan Ketua Pendaftar Kelahiran dan Kematian tidak diisi oleh orang tempatan. Keutamaan pihak British tetap memberi jawatan tersebut kepada pegawai dagang.

Lambat

Malahan, menurut Abdul Rahman Ya’akub, bagi jawatan-jawatan yang berada dalam kelas kedua, anak-anak Sarawak hanya mengisi kira-kira satu pertiga daripada jumlah keseluruhan jawatan tersebut. 

ALLAHYARHAM Tun Abdul Rahman Ya’akub.

Di peringkat daerah hanya separuh sahaja anak negeri diberi jawatan dalam pentadbiran sebagai pegawai daerah.

Atas sebab itu, beliau selaku pemimpin Kesatuan Pegawai-Pegawai Asia telah menyuarakan rasa kecewa terhadap kelewatan proses peralihan kuasa dalam pentadbiran kerajaan oleh British.

Beliau turut menegaskan bahawa anak-anak negeri Sarawak juga berkeupayaan untuk menyandang jawatan-jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Namun begitu, beliau mengakui bahawa masih terdapat kekurangan dalam kalangan anak negeri dari segi kepakaran dalam bidang teknikal.

Pendidikan

Sehubungan dengan kenyataan ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam usaha British memberi pendidikan kepada anak-anak Sarawak. 

Masih terdapat lompang-lompang yang gagal dibaiki oleh British untuk memberi pendidikan yang menyeluruh kepada rakyat Sarawak.

Ini kerana pembangunan dasar dilakukan oleh British dalam aspek pendidikan juga perlahan. Tidak ramai anak-anak Sarawak yang mendapat pendidikan tinggi, dan kemudahan pendidikan masih lagi ditahap rendah di kawasan pedalaman dan terpencil.

Diteruskan

Ulasan ini hanya sedikit sahaja perkara disentuh dalam pembangunan dibawa oleh kerajaan British. Banyak lagi kelompangan yang ada, gagal ditangani oleh kerajaan British dalam memberi pembangunan kepada Sarawak dan rakyatnya.

Namun tiada siapa boleh menghalang mereka untuk mengambil Sarawak sebagai sebuah koloni. Bantahan daripada penduduk tempatan tidak didengar malah ditekan dengan cara halus untuk meneruskan usaha pengambilan Sarawak oleh British.

Kelicikan British dalam mengambil Sarawak cukup kemas dengan pelbagai cara yang berbentuk legal digunakan seperti mendapat persetujuan dari Majlis Tertinggi dan Council Negri. 

Apabila dicabar tentang persetujuan dari Council Negri, British cuba pula menggunakan isu kaum untuk menjelaskan bahawa mereka dipihak benar dalam hal ini.

Pengisytiharaan

Tanpa menghiraukan bantahan dibuat oleh penduduk Sarawak, kerajaan British mengisytharkan penyerahan pada 1 Julai 1946.

Namun demikian hari penyerahan itu agak suram kerana beberapa pemimpin Sarawak tidak hadir sebagai tanda protes.

Sehubungan itu, Setiausaha Koloni British, George Hall dalam penyataannya memaklumkan bahawa penyerataan Sarawak dalam empayar British satu yang memberi feadah kepada masa depan dan kesejahteraan kepada Sarawak. 

Malahan peralihan ini telah mendapat persetujuan dari Council Negeri.

Raja George VI dalam ucapannya di parlimen pada November 1946 menyatakan bahawa penyertaan Sarawak termasuk Borneo Utara dalam pemerintahan baginda amat dialu-alukan. 

Beliau menyatakan bahawa kerajaan British akan terus menjaga Sarawak dalam perkara tentang kebajikan mereka.

Secara keseluruhannya, penyerahan Sarawak satu yang pelik dalam dunia yang mengalami perubahan selepas perang. Hasrat British untuk membangunkan Sarawak kerana ketidakmampuan pemerintah Raja Brooke membangunkan Sarawak hanya satu alasan yang dangkal.

Namun British tetap ego dan terus memerintah Sarawak dengan hasil yang tidak seberapa.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Sebab tayar kapal terbang jarang meletup

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.