
KUALA LUMPUR: Bagi sesetengah individu, ais bukan hanya sekadar pelengkap minuman, sebaliknya menjadi ‘snek ringan’ harian yang wajib dikunyah kerana sensasi rangup dan sejuk yang mengasyikkan.
Namun, di sebalik tabiat yang kelihatan remeh ini, timbul persoalan adakah ia sekadar kebiasaan atau petanda awal kepada masalah kesihatan yang tersembunyi?
Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata tabiat mengunyah ais secara kerap dikenali sebagai pagophagia, iaitu sejenis pica atau keinginan kompulsif untuk mengambil dan mengunyah bahan bukan makanan seperti kiub ais.
“Secara global, kajian sistematik yang menganalisis 89 kajian dari 33 negara mendapati 22.5 peratus kes pica melibatkan tabiat mengunyah ais. Kajian ini juga melaporkan bahawa 81 peratus daripada kes pica berlaku bersama anemia, menunjukkan kaitan kuat antara dua keadaan ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga ahli dietetik UPM berkata ramai individu yang mengalami kekurangan zat besi atau anemia menunjukkan keinginan luar biasa untuk mengunyah ais, dan tabiat ini lazimnya akan hilang apabila tahap zat besi dipulihkan.
“Apa yang dianggap tabiat ringan mungkin sebenarnya petanda kepada gangguan nutrisi. Walaupun ais tidak menjejaskan sistem penghadaman, jika dikaitkan dengan pica, ia mencerminkan masalah kesihatan yang lebih serius,” katanya.
Dr Barakatun Nisak berkata pagophagia antara gejala tidak langsung anemia dan ia berlaku apabila badan tidak cukup hemoglobin, bahan dalam sel darah merah yang membawa oksigen.
“Tanda-tanda anemia termasuk letih, pucat, sesak nafas, sakit kepala, dan dalam sesetengah kes keinginan kuat untuk mengunyah ais,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan agar individu yang gemar mengunyah ais menjalani pemeriksaan darah bagi menyaring kadar hemoglobin, feritin serum dan serum iron serta keupayaan penyerapan zat besi.
“Walaupun tiada statistik rasmi di Malaysia, tabiat mengunyah ais tidak boleh dianggap sekadar kebiasaan. Ia mungkin petanda awal masalah kekurangan nutrien, terutamanya zat besi dan wajar disaring atau dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.
“Langkah paling penting merawat puncanya, bukan sekadar menggantikan ais. Sama ada ia berpunca daripada kekurangan zat, tekanan emosi atau tabiat kompulsif, rawatannya perlu menyeluruh,” katanya.
Pakar Pergigian Kesihatan Awam daripada Fakulti Pergigian, Universiti Malaya Prof Madya Dr Nor Azlida Mohd Nor pula berkata tabiat pagofagia yang berterusan boleh memberi risiko kepada kesihatan gigi.
“Sekiranya tabiat mengunyah ais hanya dilakukan sekali-sekala, ia tidak memberi kesan serius kepada gigi. Tetapi jika berterusan, ia boleh menyebabkan gigi sensitif, haus dan mengalami keretakan halus (mikro) kepada gigi atau keretakan pada tampalan gigi,” katanya.
Lebih membimbangkan, katanya, tabiat menggigit bahan keras secara berpanjangan boleh mengakibatkan keretakan besar atau patah pada gigi sehingga menjejaskan saraf dan akar gigi, sekali gus memerlukan rawatan pergigian yang lebih kompleks.
“Dalam beberapa kes, ia juga memberi kesan kepada sendi tulang rahang dan otot sekeliling, menyebabkan rasa sakit, bunyi ‘klik’ atau kesukaran menggerakkan rahang,” katanya sambil menambah pagophagia turut dikaitkan dengan gangguan pemakanan dan anemia.
Bagi Nur Nadhirah Ali Imran, 26, ais kosong pernah menjadi teman wajib setiap kali makan sehingga sanggup memesan segelas ais semata-mata untuk dikunyah bagi menghilangkan rasa gian.
“Kalau tak dapat kunyah ais, saya rasa stres dan macam tak puas. Tapi saya bersyukur sebab setakat ini belum pernah alami kesan kesihatan yang teruk,” katanya yang mengambil keputusan untuk berhenti sepenuhnya daripada tabiat itu selepas menyedari risiko yang mungkin timbul.– Bernama