KUALA LUMPUR: Program Kebun Komuniti yang memberi peluang kepada peserta mengusahakan tanaman jangka pendek terutama sayur-sayuran, kini sedang rancak dijalankan di seluruh negara.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata program di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) itu menyediakan peruntukan RM10 juta yang memanfaatkan 800 komuniti dan 12,000 penyertaan individu baharu dalam program pertanian bandar.
“Kita (kerajaan) harap peruntukan ini akan membantu pengeluaran makanan serta memastikan keselamatan makanan adalah terjamin walau dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai perkembangan peruntukan RM10 juta PENJANA bagi membantu kumpulan petani berpendapatan rendah kategori B40.
Mengulas lanjut, Kiandee berkata menerusi PENJANA, kerajaan turut memperuntukan RM350 juta di bawah Dana Pembiayaan Mikro Kredit Agro Makanan bagi merancakkan kembali industri pengeluaran makanan negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Mengenai perancangan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras impot, Kiandee memaklumkan bahawa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menumpukan usaha meningkatkan tahap pengeluaran beras negara daripada 70 peratus kepada suatu tahap yang lebih tinggi.
“Pada ketika ini tahap sara diri (SSL) beras adalah 70 peratus bermaksud negara mampu menampung 70 peratus permintaan beras dalam negara manakala 30 peratus lagi adalah beras impot,” katanya.
Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu sejauh mana teknologi pertanian mampu meningkatkan pengeluaran beras negara.
Kepada soalan asal Ahmad Fahmi, Kiandee berkata antara program yang dijalankan adalah menyediakan program latihan jangka pendek dan jangka panjang bagi melahirkan pekerja mahir serta usahawan pertanian menggunakan teknologi terkini melibatkan golongan belia berumur 18 hingga 40 tahun.
“Kerajaan juga mengintegrasikan teknologi pertanian moden seperti penggunaan robot (agro robotik), penderia (sensor), pertanian tepat (precision farming), dron, pembangunan data pertanian, aplikasi berasaskan Internet of Things dan model kilang tanaman,” katanya.- Bernama